Malam Wartawan Malaysia 2021 ditangguhkan

Chamil Wariya
Chamil Wariya
A
A
A

SHAH ALAM – Malam Wartawan Malaysia 2021 (MWM 2021) anjuran Institut Akhbar Malaysia (MPI) yang dirancang pada 20 Ogos ini ditangguhkan berikutan pengumuman Pelan Pemulihan Negara oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Selasa.

Ketua Pegawai Eksekutif MPI, Datuk Dr Chamil Wariya berkata, majlis penyerahan cek dalam kalangan penaja dan penyumbang MWM 2021 yang dijadual pada 8 Julai juga ditunda kepada satu tarikh baharu yang akan diumumkan kemudian.

“Keputusan berat itu terpaksa diambil kerana semasa fasa kedua Pelan Pemulihan Negara selama dua bulan pada Julai dan Ogos 2021, kerajaan masih menutup sektor sosial yang melarang penganjuran pelbagai kegiatan sosial membabitkan kehadiran ramai seperti penganjuran MWM 2021.

“Tarikh-tarikh baharu bagi penganjuran majlis penyerahan cek para penyumbang MWM 2021 dan MWM akan diputuskan dalam masa terdekat setelah Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengeluarkan butiran terperinci mengenai penganjuran pelbagai kegiatan sosial yang dibenarkan selepas fasa kedua Pelan Pemulihan Negara berakhir pada Ogos 2021,” katanya menerusi satu kenyataan pada Rabu.

Chamil berkata, MPI akur dengan keputusan kerajaan demi memastikan jangkitan wabak Covid-19 yang masih mengganas sekarang dapat dikawal dan rantaiannya berupaya diputuskan.

“Kami berharap MWM 2021 bagi menyampaikan hadiah kepada para pemenang Hadiah Kewartawanan Malaysia 2020 (HKM 2020) tajaan Petronas akan dapat diadakan pada fasa ketiga Pelan Pemulihan Negara selepas bulan September 2021 apabila kerajaan dijangka mula membenarkan penganjuran majlis sosial,” katanya.

Beliau turut berharap pelbagai pihak yang tidak sabar dengan penganjuran MWM 2021 dapat bersabar kerana pihaknya percaya majlis itu akan dapat diadakan sebelum tahun ini berakhir.

“Kerana berdasarkan unjuran kerajaan sendiri, jangkitan wabak Covid-19 akan berupaya dikawal secara berperingkat-peringkat mengikut Pelan Pemulihan Negara,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!