Vaksinasi harian terus meningkat, capai sasaran 200,000 sehari
KUALA LUMPUR - Vaksinasi harian bagi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan terus mencatatkan peningkatan dengan pemberian 215,876 dos pada Selasa, sekali gus mencapai sasaran vaksinasi harian yang ditetapkan kerajaan iaitu 200,000 dos sehari.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba menerusi perkongsian di Twitter berkata, daripada jumlah pemberian vaksin pada Rabu, seramai 160,226 individu menerima dos pertama manakala 55,650 individu menerima dos kedua.
Beliau berkata, seramai 1,468,689 individu telah melengkapkan dua dos vaksin Covid-19 dan seramai 3,435,420 individu telah menerima dos pertama menjadikan jumlah keseluruhan pemberian dos pertama dan kedua di negara ini adalah sebanyak 4,904,109.
Lima negeri yang mencatatkan penerima kedua-dua dos tertinggi ialah Selangor dengan 187,443 diikuti Sarawak (168,471), Johor (142,868), Perak (139,612) dan Kuala Lumpur (131,882).
Sementara itu, berdasarkan perkongsian laporan harian jumlah pendaftaran kumulatif vaksin, Dr Adham berkata, seramai 13,837,410 pendaftaran direkodkan pada Selasa, dengan perkembangan nasional sebanyak 59.10 peratus.
Selangor menjadi negeri tertinggi yang merekodkan jumlah pendaftaran iaitu sebanyak 3,513,960 diikuti Johor (1,727,211), Sarawak (1,323,339) dan Kuala Lumpur (1,168,192). - Bernama
Jumlah pemberian vaksin COVID-19 setakat 15 Jun 2021 ialah 4,904,109 dos.
— Dr Adham Baba (@DrAdhamBaba) June 16, 2021
215,876 dos pada 15 Jun.
Jumlah yang terima dos pertama ialah 3,435,420 orang. Daripada jumlah itu, 1,468,689 orang juga terima dos kedua
Daftar di MySejahtera, https://t.co/jWUzMEwwWM Tel 1800888828 pic.twitter.com/cIT8WVIJpM
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!