Apakah Sebenarnya Pelan Pemulihan Perikatan Nasional?
SETELAH mengamati ucapan YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin sebentar tadi, terlalu ramai kini kebingungan akan apakah sebenarnya Pelan Pemulihan Negara yang dijanjikannya?
4 Fasa ‘Pelan Pemulihan’ Lebih Berbentuk Garis-Panduan Atau Sasaran Melonggarkan PKP...Bukan Pelan
Apa yang disampaikan oleh beliau tidaklah begitu baru. Fasa-fasa yang diperkenalkan untuk Pelan Pemulihan ini lebih berbentuk garis-panduan untuk menilai bilakah syarat-syarat Perintah Kawalan Pergerakkan (PKP) boleh dilonggarkan. Malah hubung kaitnya dengan kategori-kategori PKP yang sedia ada seperti PKPB, PKPD dan PKPP masih mengelirukan, terutama sekali apabila diperincikan.
Menurut pelan tersebut, PKP boleh dilonggarkan ke Fasa 2 sekiranya jumlah jangkitan sehari menurun ke bawah 4,000 kes sehari, ICU di paras ‘sederhana’ dan vaksinasi penuh dicapai ke 10% jumlah penduduk. Namun bagaimanakah ini diperincikan ke peringkat negeri, daerah atau lokaliti yang lebih kecil agar membantu pihak berkuasa terutama sekali frontliners kita untuk mentadbir-urus pandemik ini secara berkesan di kawasan masing-masing?
• Adakah apabila jumlah jangkitan harian seluruh negara menurun ke bawah 4,000 sehari, semua kawasan akan dapat menikmati kelonggaran PKP dengan peralihan ke Fasa 2? Bagaimana dengan lokaliti di mana jangkitan masih menular dengan begitu rancak?
• Adakah ICU-ICU di hospital-hospital yang mengalami penurunan jumlah pesakit akan dibenarkan demikian demi melonggarkan PKP? Bukankah beban ICU kini diselaraskan di peringkat negeri, malah antara negeri berjiranan untuk memastikan rawatan terbaik untuk pesakit?
• Adakah seluruh negara akan menikmati kelonggaran PKP apabila sasaran vaksinasi penuh ke 10% jumlah penduduk tercapai, walaupun peratusan di setiap lokaliti mungkin amatlah berbeza? Apakah pelan kerajaan untuk mengurangkan jurang perbezaan penerimaan vaksin antara kawasan mahupun kelompok masyarakat?
Apakah aspek-aspek lain yang kini diperkenalkan dalam Pelan Pemulihan Nasional? Contohnya, selain apa yang sudah pun diumumkan oleh YB Dato Seri Tengku Zafrul di bawah program Pemerkasa, adakah lagi penambahbaikan bagi sektor ekonomi, khususnya bagi menyahut rayuan serta desakan rakyat seperti menular di media sosial?
• Adakah Moratorium Otomatik bakal diberikan kepada semua peminjam institusi kewangan swasta dan awam serta agensi kerajaan bagi tempoh sehingga Fasa 2, 3 atau 4 tercapai?
• Adakah OPR bakal diturunkan untuk mengurangkan beban kadar faedah kepada peminjam?
• Adakah program i-Sinar akan dilanjutkan? Atau mungkinkah ada ilham baru yang boleh diperkenalkan selain membenarkan rakyat memanfaatkan tabungan mereka sendiri?
Aspek sosial juga sekarang menjadi semakin terserlah kepentingannya. Masyarakat tertanya-tanya akan perancangan untuk mengejar pembangunan masyarakat yang tertunggak sekian lama.
• Adakah kerajaan akan melaksanakan reformasi pendidikan bagi melonjakkan ke hadapan sistem pendidikan yang setelah 15 bulan terjejas dan tidak sempurna peralihannya bagi menyesuaikan dengan norma baru?
• Adakah pelan siasah dan kebajikan yang terperinci sudah dirangka bagi yang terjejas keharmonian keluarga atau mental?
• Adakah jurang pembangunan antara kota dan luar bandar sekaligus miskin dan kaya akan dikurangkan menerusi pelan pemulihan nasional ini?
Isu-isu ini, malah banyak lagi yang belum disentuh di sini, seharusnya sudahpun lengkap terjawab sekiranya Pelan Pemulihan Perikatan Nasional benar-benar dirangka dengan niat serta keperihatinan terhadap cabaran yang dihadapi rakyat Malaysia.
Adakah 10% Vaksinasi Penuh Mencukupi Sebagai Garis-Panduan Melonggarkan PKP?
Perdana Menteri juga mengulang lagi Vaksinasi merupakan tunggak strategi menangani Covid-19, dengan sasaran 10% penerima vaksinasi penuh bagi membolehkan PKP mula dilonggarkan dalam Fasa 2. Masalahnya, penularan semula Covid-19 di negara-negara lain yang lebih maju proses vaksinasinya, terkini di United Kingdom, menunjukkan kita masih jauh dari selamat sekiranya vaksinasi penuh hanya diterima oleh 10% dari penduduk.
Di United Kingdom sekarang, penularan semakin meningkat sejak ‘lockdown’ mereka dilonggarkan pada 17 Mei 2021, antara lain kerana kehadiran Variant Delta Covid-19 dari India. Pelonggaran seterusnya malah ditunda sebulan dari jadual asalnya pada 21 Jun ke 19 Julai 2021. Padahal tahap vaksinasi penuh di United Kingdom sekarang berada di tahap lebih 45% dan dos pertama lebih 6 kali ganda pencapaian kita pada masa ini! Ternyata vaksinasi pada tahap ini telah membantu mereka mengurangkan kadar kematian walaupun Covid-19 menular kembali.
Kerajaan harus lebih peka terhadap risiko melonggarkan PKP terlalu awal. Nyawa rakyat haruslah diutamakan sebelum ekonomi, kerana nilainya, sesuai dengan firman Allah di Surah Al-Madiah, Ayat 32,
“Dan barangsiapa yang memelihara kehidupan seorang manusia, maka seolah-olah dia telah memelihara kehidupan manusia semuanya.”
Kenapakan Sekarang Begini Lewat Dipersembahkan Pelan Pemulihan Nasional?
Semua maklum, Darurat diisytiharkan pada 12 Januari 2021, tetapi kenapa tiada Pelan Pemulihan Nasional yang dikemukakan lebih awal dari sekarang? Kenapakah tiada usaha untuk menggembeling tenaga pemikir dan pengamal seluruh negara mahupun nasihat pakar-pakar luar yang sedia membantu untuk merangka pelan tersebut dari mulanya Darurat? Malah, kenapakah ia mengambil masa lebih 1 tahun dan 3 bulan sejak Perikatan Nasional mengambil kuasa sebelum sebuah Pelan seumpamanya diajukan?
Adakah mungkin pelan ini kelihatan begitu kekurangan kerana ia dirangka dengan tergesa-gesa apabila Tun Dr Mahathir mempersembahkan cadangan seumpama Mageran, yang kini dijenamakan semula Majlis Pemulihan Negara (MPN), kepada DYMM Baginda Yang DiPertuan Agong Tempohari? Adakah ia kerana esok, Majlis Raja-Raja Melayu bakal bersidang bagi membincangkan situasi Covid-19 negara yang kian hari terlihat tidak terurus, mungkin sekali kerana sebelum ini tidak ada pelan?
Diharap kerajaan Perikatan Nasional memahami tanggungjawabnya adalah melaksanakan tugas mengurus kebajikan rakyat tanpa perlu dipersoalkan kesinambungannya oleh Majlis Raja-Raja Melayu. Malah, apakah manfaatnya Darurat sebenarnya apabila senario Covid-19 negara hari ini, masih jauh lebih buruk daripada tarikh pengisytiharaannya? Adakah tragedi angka kematian ratusan rakyat Malaysia sehari dari Covid-19 terjamin tidak akan berulang lagi jika tanggungjawab terus diletakkan pada bahu Perikatan Nasional?
Pelan Pemulihan haruslah benar-benar pelan akhirnya, dan benar-benar meyakinkan dengan keperincian jelas ia menuju keselamatan nyawa serta kesinambungan hidup seluruh rakyat.
* Akhramsyah Muammar Ubaidah Sanusi ialah Ketua Biro Penyelidikan, Parti Pejuang Tanah Air
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!