Kerajaan baharu perlu atasi semua kemelut negara
PASIR GUDANG - Kerajaan baharu yang dicadang menggantikan Perikatan Nasional (PN) perlu benar-benar menjaga kepentingan rakyat serta dapat mencari jalan mengatasi semua kemelut yang melanda negara ketika ini.
Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim berkata, pemerintah baharu harus mempunyai jalan keluar mengatasi pandemik Covid-19 selain krisis ekonomi, pendidikan, tiada pekerjaan dan kenaikan harga barang.
"Kerajaan baharu itu juga perlu mendapat keyakinan dan sokongan meluas rakyat selain mesti 'transparent' serta menjadi satu 'payung yang besar' menggabungkan (parti-parti politik) yang baik-baik selain dapat berfungsi sehingga Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan," katanya kepada pemberita selepas mengedarkan beg Kempen Daftar Vaksin di Pasar Awam Johor Jaya di sini pada Rabu.
Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor Jaya, Liow Cai Tung yang juga Setiausaha Publisiti DAP Johor.
Hassan yang juga bekas Pengerusi PKR Johor berkata, partinya terbuka untuk berbincang dengan mana-mana pihak termasuk UMNO bagi membentuk kerajaan baharu asalkan mendahulukan kepentingan rakyat dan negara.
Beliau tidak bersetuju dengan penubuhan Majlis Gerakan Rakyat (Mageran) kerana bimbang akan menjadi kerajaan diktator dengan pemerintahan bercorak autokratik sebaliknya kerajaan awam (sivil) adalah pilihan terbaik ketika ini.
"Saya setuju dengan Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa kerajaan hari ini gagal tetapi tidak bersetuju cadangannya menubuhkan Mageran. Antara bukti kerajaan gagal kerana proses vaksinasi kepada rakyat yang perlahan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!