Komuniti lorong Jalan Wong Ah Jang dibela
KUANTAN- Komuniti lorong Wong Ah Jang mendapat perhatian dan pembelaan apabila Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip) memperuntukkan RM144,300 bagi membantu mereka yang terkesan dengan dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Baitulmal dan Operasi) Muip, Dr Asmadi Abdul Rahman memberitahu, bantuan yang disediakan dalam tempoh lima bulan tahun ini termasuklah penyediaan juadah berbuka puasa, duit dan baju raya pada Aidilfitri baru-baru ini, makanan, sumbangan peralatan memasak dan sarapan pagi.
"Komuniti lorong Wong Ah Jang amat memerlukan bantuan kerana tidak dapat bekerja sepanjang PKP.
"Bahkan, ada dalam kalangan mereka terputus bekalan makanan kerana tiada sumber pendapatan," katanya ketika ditemui selepas turun padang membantu mengagihkan sarapan pagi kepada golongan tersebut pada Rabu.
Menurut Asmadi, golongan ini perlu dibantu bagi meringankan beban yang ditanggung dalam tempoh sukar ini, seperti membayar sewa bilik dan menyediakan keperluan keluarga setiap hari.
Muip kata beliau, juga menyediakan surau berhawa dingin di bangunan kedai di kawasan itu yang dilengkapi kemudahan tandas dan tempat mengambil wuduk.
Jelasnya, semua kemudahan tersebut disediakan bagi memastikan komuniti lorong Wong Ah Jang tidak terus terbabit dengan aktiviti tidak bermoral.
Menurut Asmadi, pihaknya juga memberi tumpuan kepada didikan agama golongan kanak-kanak generasi kedua komuniti di situ.
Tambah beliau, Muip turut menyediakan elaun bulanan khas kepada individu yang benar-benar insaf dan kembali membina hidup baharu dengan meninggalkan pekerjaan tidak bermoral seperti sebelum ini.
Lorong Wang Ah Jan terletak di tengah pusat bandar Kuantan sebelum ini begitu terkenal dengan pelbagai kegiatan tidak bermoral, penagihan dadah dan pusat hiburan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!