Pemuda Syiah dihukum mati di Arab Saudi

Mustafa al-Darwish - Foto REPRIEVE
Mustafa al-Darwish - Foto REPRIEVE
A
A
A

RIYADH - Seorang lelaki daripada komuniti minoriti Syiah, Mustafa al-Darwish dihukum mati pada Selasa di bandar Dammam setelah disabitkan kesalahan berkaitan dengan protes antikerajaan Arab Saudi yang dilakukannya ketika dia masih berumur belasan tahun.

Menurut agensi berita rasmi Saudi Press Agency (SPA), Mustafa telah melancarkan revolusi bersenjata bagi menentang pemerintah negara tersebut dan mahu menjadikan keselamatan Arab Saudi tidak stabil.

Ketika ini, pemuda itu berumur 26 tahun.

Namun, dia ditangkap pada Mei 2015 berhubung pembabitannya dalam protes-protes semasa kebangkitan penduduk Arab atau lebih dikenali sebagai Arab Spring antara tahun 2011 dan 2012, kata pertubuhan hak-hak asasi, Amnesty International.

Menurut pertubuhan tersebut, ketika itu Mustafa berumur kira-kira 17 atau 18 tahun.

Sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang anggota-anggota terdiri daripada para peguam dan penyiasat serta beribu pejabat di Britain, Reprieve berkata, pihak berkuasa tidak memberitahu keluarga pemuda tersebut tentang hukuman mati itu.

Sebaliknya, berita hukuman tersebut diketahui oleh keluarganya menerusi berita dalam talian.

Menurut keluarganya, Mustafa ditangkap oleh pihak berkuasa Arab Saudi bersama dua rakannya di Tarout enam tahun lalu.

Artikel Berkaitan:

Namun, dia kemudian dibebaskan tanpa dikenakan sebarang dakwaan tetapi polis menyimpan telefon bimbit miliknya, kata keluarga pemuda berkenaan.

Keluarga Mustafa kemudian berkata, terdapat satu gambar yang berada di dalam telefon bimbit itu yang dianggap mengaibkan pihak berkuasa Arab Saudi.

Pihak berkuasa negara beraja itu kemudian menghubungi keluarga pemuda berkenaan dan meminta supaya Mustafa datang untuk mengambil telefon bimbit tersebut tetapi akhirnya dia ditangkap. - Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!