PIKAS berupaya kawal penularan Covid-19 di sektor perkilangan, pembuatan

Muhyiddin beramah mesra bersama doktor yang bertugas pada Program Imunisasi Industri Covid-19 Kerjasama Awam dan Swasta (PIKAS) di Texas Instrument Sdn Bhd hari ini. - Foto Bernama
Muhyiddin beramah mesra bersama doktor yang bertugas pada Program Imunisasi Industri Covid-19 Kerjasama Awam dan Swasta (PIKAS) di Texas Instrument Sdn Bhd hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Program Imunisasi Industri Covid-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) dijangka berupaya mengawal penularan kes Covid-19 di sektor perkilangan dan pembuatan, sekali gus membantu kelancaran Pelan Pemulihan Negara.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, berdasarkan laporan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), sektor berkenaan harus diberi perhatian kerana ia antara yang terkesan akibat penularan jangkitan di tempat kerja.

“PIKAS merupakan langkah diambil Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) untuk bantu kurangkan kadar Covid-19 di negara kita memandangkan kes sejak beberapa bulan lepas masih didapati berlaku dalam sektor tempat kerja, sama ada dalam kilang atau tempat mereka tinggal.

“Ini kerana sebahagian besar majikan didapati masih tidak patuh dengan peruntukan di bawah Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 pindaan 2019 (Akta 466),” katanya selepas meninjau proses vaksinasi PIKAS di Texas Instruments Malaysia Sdn Bhd pada Rabu.

PIKAS yang bermula pada Rabu dilaksanakan sebagai langkah responsif kepada cadangan daripada persatuan industri; dewan perniagaan; serta perusahaan kecil dan sederhana untuk membantu mempercepat vaksinasi khususnya pekerja, dengan vaksinasi dijalankan di premis kilang dan lokasi perindustrian yang dikenal pasti.

Turut hadir ialah Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Menteri Kesihatan, Datuk Dr Adham Baba dan Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Muhyiddin berkata, selain pengurusan wabak Covid-19 yang menyasarkan pengurangan kes dan pengurangan beban di fasiliti kerajaan, tumpuan turut diberikan dalam memastikan jumlah suntikan vaksin dapat ditingkatkan dengan cepat dan menyeluruh dengan sasaran 300,000 suntikan sehari.

Bagaimanapun, beliau berkata, ia amat bergantung kepada jumlah bekalan vaksin yang diterima mengikut jadual ditetapkan, memandangkan ketika ini bekalan diterima secara berperingkat dan bukannya secara ‘lump sum’.

Artikel Berkaitan:

“Sebagai contoh di kilang ini (Texas) saya diberitahu setiap hari sekitar 300 (disuntik vaksin) tetapi dia mempunyai keupayaan suntik vaksin sekali ganda, namun bekalan vaksin terpaksa diagihkan di banyak tempat dan penerimaan vaksin datang secara berperingkat, ia bukan sekali gus,” katanya.

Sementara itu, Muhyiddin turut menggesa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) membantu dalam usaha meningkatkan proses pendaftaran vaksin di seluruh negara bagi memastikan perancangan untuk melaksanakan proses vaksinasi secara menyeluruh dapat dicapai dengan jayanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!