Aktivis alam sekitar dakwa diekori kereta

Khaidir bersama laporan polis selepas berdepan detik cemas diekori sebuah kereta pada Selasa.
Khaidir bersama laporan polis selepas berdepan detik cemas diekori sebuah kereta pada Selasa.
A
A
A

TEMERLOH - Aktivis alam sekitar, Khaidir Ahmad, 58, berdepan detik cemas selepas mendakwa dirinya diekori sebuah kenderaan jenis Nissan Ceffiro pada Selasa.

Bekas Ketua Pengarang Berita TV3 itu mendakwa, kejadian berlaku kira-kira jam 11 pagi ketika dia keluar dari kawasan rumahnya di Kampung Durian Tikus di sini menghala ke bandar Temerloh.

"Dalam tempoh cuma beberapa minit di atas jalan raya, saya menyedari sebuah kereta berwarna hitam mengekori rapat di belakang kereta saya.

"Saya kemudian memandu ke tepi jalan sambil menyalakan lampu isyarat ke kiri untuk memberi laluan kepada kereta berkenaan memotong tetapi kereta terbabit enggan memotong sebaliknya terus mengekori rapat di belakang kereta saya," katanya pada Sinar Harian pada Rabu.

Risau dengan keselamatan diri dan keluarganya, Khaidir bertindak membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh kira-kira jam 10.26 malam pada hari sama.

Dakwanya, beliau cuba memberi laluan tetapi kereta yang dalam keadaan kotor dipenuhi debu tanah merah dan cermin gelap itu tidak juga memotong.

"Saya kemudian memberhentikan kereta saya di depan warung nasi lemak kira-kira dua kilometer dari rumah saya dan barulah kereta hitam berkenaan memotong kereta saya.

"Pada mulanya saya menjangkakan kereta itu terus berlalu pergi, tetapi sebaliknya ia berhenti di tepi jalan kira-kira 300 meter di hadapan saya," jelasnya lagi.

Artikel Berkaitan:

Mengesyaki sesuatu yang tidak baik, Khaidir bercadang untuk berpatah balik ke rumah semula namun berubah fikiran dengan meneruskan perjalanan ke bandar Temerloh untuk membeli barang keperluan selain nekad mendapatkan nombor plat kereta berkenaan.

"Namun, sebaik sahaja kereta saya bergerak melepasi kereta yang masih berhenti itu (mungkin sengaja menunggu saya), kenderaan itu terus cuba mengejar saya semula.

"Memikirkan situasi buruk akan berlaku, saya terus memecut laju sehingga melepasi satu selekoh dan membelok ke kiri memasuki jalan kampung, syukur kerana kereta itu tidak lagi mengekori saya," dakwanya.

Dalam pada itu, Khaidir mendakwa situasi dan mengesyaki ia mungkin dengan beberapa pendedahan dan laporan mengenai kemusnahan luar biasa alam sekitar Tasik Chini akibat kegiatan perlombongan yang tidak terkawal.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!