Mesej buru perogol, penjual organ palsu: PDRM

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan mesej yang tular mendakwa kononnya seorang lelaki bernama Mohd Farhan Akhlaken Ahmad dikehendaki kerana aktif dalam kegiatan penjualan organ manusia serta perogol bersiri di Malaysia dan sempadan Thailand adalah palsu.

Ketua Komunikasi Korporat Polis Diraja Malaysia (PDRM), Urus Setia Ketua Polis Negara, Datuk Asmawati Ahmad berkata, mesej yang tular di WhatsApp itu adalah tidak benar.

"Ia adalah mesej yang diulang siar beberapa kali sejak tahun 2014 lagi bagi tujuan membangkitkan kegusaran dan ketakutan tanpa asas dalam kalangan orang ramai.

"PDRM tidak pernah menerima sebarang maklumat sahih atau laporan polis yang dibuat berkaitan kejadian penculikan untuk tujuan penjualan organ di negara ini," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Asmawati berkata, sebarang kenyataan rasmi daripada pihak PDRM hanya akan dibuat melalui saluran serta format rasmi, bukannya melalui platform WhatsApp.

Katanya, orang ramai dinasihatkan untuk tidak mudah percaya dengan berita sensasi yang tidak berasas dan tidak ditentukan kesahihannya. Tindakan berkongsi atau menyebar berita-berita sedemikian akan hanya menimbulkan keresahan dan kebimbangan masyarakat.

"Sila hubungi pihak berwajib untuk mendapatkan kepastian dan elakkan diri daripada menjadi sebahagian kepada punca tularnya berita palsu," katanya.

Terdahulu, mesej tersebut telah tular dengan menggunakan nama "ACP Datin Asmawati Ahmad, Penolong Ketua Urus Setia KPN (Komunikasi Korporat).

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!