Sedia rak makanan depan pejabat bantu orang susah
BENTONG - Seorang usahawan wanita mengambil inisiatif membantu individu dalam kesusahan akibat penularan pandemik Covid-19 dengan menyediakan rak makanan di hadapan pejabatnya di Felda Mempaga 1 di sini sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dilaksanakan.
Umi Nadrah Abdul Rahim, 35, berkata, usahanya meletakkan rak makanan itu selepas menyedari ramai individu terjejas susulan penularan Covid-19 yang belum reda dan ia sebagai sumbangan percuma kepada mereka.
"Antara barangan makanan yang disediakan di atas rak ini adalah seperti beras, gula, bihun, tepung gandum, kopi, lampin pakai buang untuk bayi termasuk tuala wanita.
"Setiap hari memang ada individu yang datang mengambil barangan di sini," kata wanita tersebut.
Menurutnya, pada peringkat awal rak bantuan makanan itu didirikan, dia menggunakan wang sendiri untk membeli barangan tersebut namun kini terdapat beberapa pihak yang turut menghulurkan sumbangan menyediakan pelbagai barangan.
Orang ramai boleh datang sendiri ke premis ini untuk mengambil barangan yang diperlukan secara percuma tanpa perlu rasa malu kerana niat saya ingin membantu masyarakat selepas melihat ramai yang terkesan akibat pandemik Covid-19.
"Ada dalam kalangan mereka yang segan untuk datang dan menghubungi saya lalu saya tanyakan barangan yang diperlukan serta menghantarnya sendiri ke rumah mereka," katanya lagi.
Tambah Umi Nadrah, barangan di atas rak tersebut akan ditambah mengikut keperluan pada setiap hari.
Katanya, dia mengalu-alukan sumbangan pihak lain untuk bersama-sama menjayakan program tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!