Agong zahir pandangan sidang Parlimen perlu diadakan secepat mungkin
SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah agar persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin bagi menangani Covid-19 dan menyelamatkan ekonomi negara.
Menurut Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin, perkara itu perlu dilaksanakan untuk membolehkan Ordinan-ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara dibahaskan oleh Ahli-ahli Dewan Rakyat.
"Setelah memperhalusi semua pandangan para pemimpin parti politik, Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 dan sembah taklimat para pakar dari agensi-agensi kerajaan, maka Seri Paduka Baginda menzahirkan pandangan bahawa persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin.
"Ini untuk membolehkan Ordinan-ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara dibahaskan oleh Ahli-ahli Dewan Rakyat," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Kenyataan itu dikeluarkan selepas Yang di-Pertuan Agong berkenan berangkat menghadiri dan mempengerusikan Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu di Istana Negara pada Rabu.
Ahmad Fadil berkata, Yang di-Pertuan Agong turut menzahirkan pandangan bahawa perlu adanya pentadbiran kerajaan yang stabil dan kukuh serta berupaya berfungsi dengan efektif dalam menangani wabak Covid-19 dan memulihkan ekonomi negara.
"Seri Paduka Baginda amat menyedari tentang peranan Parlimen sebagai satu platform penting untuk wakil-wakil rakyat bersidang bagi membincangkan pelbagai isu khususnya berkaitan penularan wabak Covid-19.
"Ahli-ahli Dewan Rakyat boleh berbincang berkenaan peruntukan perbelanjaan kerajaan bagi membantu rakyat yang di dalam kesempitan dan bagi memulihkan semula ekonomi negara," jelas beliau.
Menurut Ahmad Fadil, Seri Paduka Baginda turut menzahirkan harapan agar angka jangkitan wabak Covid-19 dapat dilandaikan dengan segera dan berpandangan vaksinasi merupakan satu-satunya 'exit strategy' bagi mengawal penularan wabak Covid-19 di negara ini.
"Sehubungan itu, Seri Paduka Baginda menzahirkan pandangan bahawa kerajaan perlu bertindak tegas memudahkan birokrasi dan mempercepatkan proses vaksinasi kepada rakyat agar matlamat imuniti kelompok 80 peratus (herd immunity) dapat dicapai seawal mungkin," ujarnya.
Sementara itu, Seri Paduka Baginda mengambil kesempatan menzahirkan setinggi penghargaan atas sokongan berterusan Raja-Raja Melayu yang juga mencerminkan keprihatinan tinggi Raja-Raja Melayu terhadap kemaslahatan negara dan kelangsungan hidup rakyat.
"Seri Paduka Baginda turut menzahirkan setinggi penghargaan kepada para petugas barisan hadapan dan seluruh rakyat yang bertungkus lumus mengorbankan masa serta penat lelah dalam usaha-usaha memerangi penularan wabak Covid-19 di negara ini," ujarnya.
Kata Ahmad Fadil, Yang di-Pertuan Agong turut mengambil kesempatan mengajak rakyat untuk bersama mendoakan agar rakyat Malaysia dan negara sentiasa berada di bawah lindungan ALLAH SWT, dijauhi dari sebarang musibah dan wabak Covid-19 dapat dibendung serta diakhiri dengan segera.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!