Gerakan tidak bergabung dengan parti lain
Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau berkata, adalah penting bagi Gerakan untuk menguatkan parti mereka selepas apa yang berlaku pada PRU14 memandangkan ia diterajui kepimpinan baharu.
"Adakah Gerakan akan bergabung dengan parti lain? Kita tengok situasi dahulu jika cakap sekarang susah kerana politik negara kita bertukar tiap-tiap hari.
"Oleh itu kita tidak mahu buang masa kerana pertama kita perlu menguatkan parti dan kedua mengaktifkan jentera sebagai persediaan menghadapi PRU akan datang," katanya kepada pemberita selepas hadir pada Sesi Dialog Bersama Pekebun Kelapa Sawit Teluk Intan, di sini, hari ini.
Menurut Lau, pihaknya mengakui terdapat parti lain meminta mereka supaya tidak menghantar calon pada PRK Semenyih namun ia tidak memberi sebarang kesan kerana mereka lebih memberi tumpuan memperkuatkan parti buat masa ini.
Lau berkata, selepas memperkuatkan jentera Gerakan, parti berkenaan akan memberi tumpuan untuk mencari mana-mana kerusi yang dirasakan sesuai untuk mereka bertanding pada PRU15.
"Apa pun kita akan beri tumpuan kepada Pulau Pinang kerana Gerakan dimulakan di negeri itu dan ia akan menjadi pentas utama kami untuk bangun semula selepas apa berlaku.
"Pepatah Cina ada mengatakan di mana kita jatuh di situlah kita akan bangkit, jadi Gerakan akan memperkuatkan jentera dan bermula di Pulau Pinang," katanya.
23 Jun tahun lalu Gerakan mengumumkan keluar daripada BN selepas mesyuarat Jawatankuasa Pusat ekoran mengambil kira pelbagai faktor susulan kekalahan dalam PRU14.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!