Covid-19: Varian baharu punca kes di ICU tidak turun ketara

Penggunaan kapasiti ICU yang melebihi 100 peratus ini amat membimbangkan.- oto Twitter Dr Noor Hisham
Penggunaan kapasiti ICU yang melebihi 100 peratus ini amat membimbangkan.- oto Twitter Dr Noor Hisham
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kes Covid-19 yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) masih tidak menunjukkan penurunan ketara walaupun kes baharu harian menurun dalam tempoh dua minggu sekatan pergerakan penuh bermula 1 Jun lepas.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia berikutan kemunculan varian baharu yang mengakibatkan kes dikesan dengan gejala serius, iaitu kategori empat dan lima dengan kesihatan merosot pada kadar lebih cepat.

“Keadaan ini menyebabkan lebih ramai pesakit memerlukan bantuan oksigen dan alat pernafasan khususnya dalam kalangan golongan rentan seperti warga emas serta pesakit yang menghidap lain-lain penyakit.

“Penggunaan kapasiti ICU yang melebihi 100 peratus ini amat membimbangkan yang mana tidak semua pesakit memerlukan rawatan kritikal dapat ditempatkan di ICU,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Menurut Noor Hisham, trend kemasukan kes Covid-19 ke ICU telah menunjukkan peningkatan bermula dari Minggu Epidemiologi (ME) ke-17 (25 April hingga 1 Mei) hingga ME ke-21 (23 Mei hingga 29 Mei).

Katanya, trend yang sama dilihat berterusan terutama bagi tempoh dua minggu seterusnya sehingga ME ke-23 (6 Jun hingga 12 Jun) apabila jumlah pengunaan katil ICU telah melebihi 100 peratus.

“Penggunaan katil melebihi kapasiti ini juga disebabkan oleh keperluan tempoh pemulihan lama bagi pesakit-pesakit ICU untuk sembuh disebabkan komplikasi jangkitan Covid-19 yang serius.

“Secara purata, tempoh rawatan di ICU bagi kategori empat adalah antara 14 ke 16 hari manakala bagi pesakit kategori lima pula, tempoh rawatan di ICU adalah antara 19 ke 26 hari,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sehubungan itu, Kementerian Kesihatan (KKM) telah mengambil langkah tertentu antaranya menambah kapasiti katil bagi pesakit Covid-19 iaitu sebanyak 11,598 katil di hospital dan 31,861 katil di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC), serta menaik taraf kegunaan katil wad biasa kepada katil rawatan pesakit kritikal Covid-19.

Selain itu, KKM turut bekerjasama dengan beberapa hospital pengajar Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) untuk menggunakan fasiliti mereka bagi merawat pesakit Covid-19, bekerjasama dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam penubuhan Hospital Medan dan bekerjasama dengan 112 hospital swasta khususnya di Lembah Klang bagi rawatan pesakit Covid-19.

“Bagi memastikan usaha dijalankan ini tidak sia-sia, KKM memohon kerjasama masyarakat untuk kekal mematuhi norma baharu dan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan bagi mengawal penularan jangkitan Covid-19.

“Terus kekal mengurangkan aktiviti pergerakan di luar rumah kerana dibimbangi mungkin terkena jangkitan daripada varian baharu Covid-19 yang lebih mudah merebak dan mengakibatkan penyakit teruk,” katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!