Kes fungus hijau pertama
Di bawah kes jangkitan terbaharu itu, lelaki berusia 34 tahun di Indore, Madhya Pradesh terpaksa diterbangkan ke hospital swasta di Mumbai pada Isnin untuk mendapatkan rawatan selanjutnya.
“Pesakit terbabit pernah dirawat selama sebulan setengah di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Aurobindo di Indore selepas dijangkiti Covid-19. Dia turut mengalami 90 peratus jangkitan pada paru-paru.
Ketika didiagnos, fungus hijau dikesan pada paru-parunya dan ia adalah virus berbeza daripada mucormycosis,” ujar Pengurus Data Daerah Jabatan Kesihatan Indore, Apoorva Tiwari.
Sementara itu, Ketua Jabatan Penyakit berkaitan Dada di Sri Aurobindo Institute of Medical Sciences (SAIMS), Dr Ravi Dosi berkata, kajian susulan perlu dilakukan untuk menentukan samada jangkitan fungus hijau pada pesakit Covid-19 yang telah pulih adalah berbeza daripada pesakit lain.
“Pesakit itu disahkan sembuh, namun dia mula mengalami pendarahan hidung dan demam panas. Tubuhnya juga semakin lemah akibat penurunan berat badan yang mendadak,” katanya lagi.
Sementara itu, seorang wanita yang dirawat akibat jangkitan fungus putih di Hospital Indore dilaporkan semakin sihat selepas fungus tersebut dikeluarkan daripada otaknya.
“Dia dimasukkan ke hospital selepas mengadu sakit kepala dan pemeriksaan yang dilakukan terhadapnya telah mengesan fungus bersaiz besar itu.
"Ini juga adalah antara kes pasca Covid-19,” kata jurucakap hospital itu.
Dalam perkembangan berkaitan, Oman turut mengesan jangkitan fungus hitam membabitkan tiga pesakit Covid-19 yang merupakan kes pertama di Asia Barat. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!