Pokok tumbang, Perodua Axia ranap
MELAKA - Kereta milik seorang gadis yang diletakkan berhampiran tempat kerjanya ranap dalam kejadian pokok tumbang di Taman Rumpun Bahagia, Bachang di sini.
Siti Nur Atika A Aziz, 22, yang bekerja sebagai pembantu pejabat di lokasi terbabit berkata, ketika kejadian kira-kira jam 12 tengah hari itu, dia berada di dalam premis dan terdengar bunyi dentuman.
Menurutnya, sebaik menjengah keluar untuk melihat apa yang berlaku, dia terkejut apabila terlihat kereta Perodua Axia miliknya dihempap pokok.
"Memang terkejut apabila melihat kereta ranap.
"Nasib baik ketika kejadian, saya belum hendak keluar makan tengah hari, kalau tidak mungkin keadaan lebih teruk lagi apabila pokok itu jatuh betul-betul di atas bumbung kereta saya," katanya.
Menurut Siti Nur Atika, dia tidak dapat menganggarkan kerugian yang rosak dan menunggu pihak insurans untuk berbuat demikian.
"Kerosakkan amat teruk dan diharap ada pampasan untuk membaikinya," katanya.
Sementara itu, jurucakap bomba berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 12.14 tengah hari sebelum sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Kubu bersama lapan anggota termasuk komander operasi ke lokasi kejadian.
"Sejurus tiba, terdapat sebatang pokok dipercayai sudah berusia tumbang dan menghempap sebuah kereta.
"Tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan kerana ketika kejadian pemiliknya berada di pejabat," katanya.
Beliau berkata, kerja mengalihkan pokok yang tumbang itu siap sepenuhnya pada jam 12.55 tengah hari.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!