FTTIS kaedah tepat bantu Pelan Pemulihan Negara
SHAH ALAM - Pelan Pemulihan Negara yang dicadangkan hanya membeli sedikit ruang masa yang lambat laun akan dihambat satu lagi gelombang Covid-19 apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diredakan.
Pakar Perunding Pediatrik Hospital Pakar Damansara, Datuk Dr Musa Mohd Nordin berkata, ia berikutan metrik kesihatan awam yang menetapkan Pelan Pemulihan tersebut tidak dapat mengurangkan penularan pandemik Covid-19 dengan sempurna.
“Ia tidak berasaskan kajian sains yang jitu, pemilihan angka indikator seperti 4,000 kes dan lain-lain dilakukan secara rambang serta tidak ada data retrospektif atau prospektif yang nyata,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Pada Selasa, kerajaan mewujudkan Pelan Pemulihan Negara sebagai strategi untuk keluar daripada kemelut pandemik Covid-19 yang melibatkan pelan peralihan fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara berperingkat.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, setiap fasa pelan pemulihan itu berpaksikan kepada data yang bersandarkan tiga indikator ambang utama untuk beralih dari satu fasa ke fasa seterusnya.
Mengulas lanjut, Musa berkata, kerajaan disarankan agar mengikuti petunjuk prestasi utama (KPI) yang menekankan pengoperasian FTTIS pada kadar yang pantas serta mengguna kaedah yang berkesan dan efisyen.
Menurutnya, FTTIS meliputi lima KPI iaitu Finding (Kenal Pasti), Testing (Ujian), Tracing (Kesan), Isolation (Kuarantin) dan Support (Sokongan).
Jelasnya, ia sebahagian daripada gabungan KPI kesihatan awam dalam mengekang penularan virus Covid-19, melandaikan lengkung pandemik, seterusnya mengarahkan hala tuju keluar daripada krisis berkenaan.
“Ia sepatutnya yang diguna pakai oleh Muhyiddin dalam menentukan fasa-fasa untuk pelan tersebut dan pembukaan PKP. Bukan (berdasarkan) nombor serta angka-angka rambang.
“Gabungan KPI berkenaan bersandarkan fakta sains, data Covid-19 yang sedia ada serta ramalan kemungkinan masa depan yang berasaskan sains digital dan kecerdasan buatan (artificial intelligence),” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!