Studio rumah semakin popular
HARI ini memiliki studio rumah bukan lagi satu tanda status tetapi keperluan dalam kehidupan manusia bekerja.
Jika sehingga ke hari ini kita masih buta dengan aplikasi seperti Zoom, Webex, Google Meet, Microsoft Team (sekadar menyebut yang popular), natijahnya kita akan ditinggalkan oleh kehidupan berteknologi pada masa akan datang.
Aktiviti harian, pekerjaan, pendidikan, kekeluargaan dan segala rencam rutin kehidupan telah berubah hampir 360 darjah.
Setelah melewati 15 bulan era Covid-19, pertemuan secara maya telah bertukar daripada norma baharu kepada budaya baharu- jangkaan kepada satu realiti berbudaya pada masa depan.
Pernah kita bertanya di mana kita dalam tempoh 60 bulan/1,825 hari atau lima tahun akan datang?
Benarkah setelah melalui tempoh vaksinisasi, maka kehidupan rakyat Malaysia dan dunia amnya akan kembali normal sepenuhnya.
Menurut Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia, Datuk Dr Zainal Ariffin Omar, Malaysia hanya kelihatan lebih bersedia, itu pun pada 2022 sekiranya 60 hingga 70 peratus rakyat Malaysia telah menerima vaksin penghujung tahun ini. Fikirkanlah secara bagaimana kita mahu beradaptasi dengan dunia dan budaya baharu ini.
Kemampuan berteknologi hari ini bukan lagi tentang komuniti bijak pandai sahaja tetapi ia akan menjalar ke dalam semua lingkungan kehidupan umat manusia.
Sama ada bersedia atau tidak, kita sebenarnya tiada pilihan. Ya benar, kita sebenarnya tiada pilihan.
Bertitik daripada kaedah penggunaan aplikasi untuk membeli makanan, barangan pejabat, elektronik dan lain-lain keperluan kehidupan, kita sebenarnya telah memulakan satu budaya yang membentuk industri penghantaran secara atas talian yang suatu ketika dahulu amat asing bagi sebahagian besar rakyat Malaysia.
Jika dilihat dari dasar kerajaan yang menggalakkan budaya bekerja dari rumah, tidaklah rugi jika kita bersedia dengan mewujudkan satu ekosistem bekerja di rumah yang lebih kondusif agar kualiti perkhidmatan tidak lesu dan hilang konsentrasi.
Malah, menurut Chris Westfall (Forbes, 2021) dapatan data syarikat-syarikat berpengkalan di California menunjukkan produktiviti pekerja meningkat sehingga 47 peratus - satu senario yang jarang kita jangka berlaku.
Keseimbangan kehidupan dan pekerjaan telah menukar banyak perkara dalam kehidupan dan pekerjaan, malah dalam satu kajian maklum balas di Amerika Syarikat menunjukkan daripada 100 juta petunjuk data dalam kalangan 30,000 pekerja, hasilnya secara purata pekerja bekerja bermula jam 8.32 pagi hingga 5.32 petang selain hari Selasa, Rabu dan Khamis adalah hari paling produkrif, begitu juga panggilan telefon meningkat sehingga 230 peratus dari kadar biasa dan penggunaan emel melonjak sehingga 57 peratus.
Maka, idea untuk mewujudkan apa yang dipanggil studio rumah (studio ruang kerja atau workstation studio) amat bertepatan dan menjadi semakin popular.
Malah, bagi yang aktif bekerja mahu pun berkarya, studio rumah adalah satu bentuk budaya baharu dan keperluan sangat penting dalam diari kehidupan kita mutakhir ini.
Namun, bagaimana rupa bentuk studio rumah yang kita perlukan? Sederhana, mewah atau mampu milik. Apa kriteria penting dalam sebuah studio rumah? Peralatan, persekitaran atau ruang yang dipilih?
"A home office should be conducive to getting work done and should be a place where you feel inspired, focused and motivated". Becca (2021)
Apa pun idea yang bermain dalam fikiran, tentu sekali kita inginkan sebuah studio yang berupaya memberi motivasi, membantu daya fokus untuk menyiapkan setiap tugasan dan mampu memberi inspirasi kepada halangan serta kesulitan dalam menempuh cabaran dalam proses kerja di studio rumah.
Walaupun persoalan bajet sering menjadi kekangan untuk bermula, secara strategik kita perlu aturkan fasa demi fasa untuk merealisasikannya. Pintar dalam membuat perancangan dan keputusan.
Sama ada studio bajet mahu pun yang mahal semuanya bergantung kepada objektif dan misi yang mahu kita capai dan selesaikan. Tepuk dada tanyalah akal fikir, selera dan keperluan yang perlu diimbangi.
Bagi komuniti pengkarya pula, perlu kita akui dewasa ini kebanyakan hasil seni, sastera dan budaya lahir dari rumah. Letakkan sedikit usaha untuk berinovasi dalam berkarya dan sabar dalam membentuk budaya kerja berkualiti.
"It’s innovative and a very sound investment home studios are ground-breaking to say the least. A lot of the music you are hearing on the airwaves was, in fact, recorded in home studios". Horus Music (2021)
Satu tip yang berkesan supaya kita tidak tersasar serta rugi modal dan idea dalam kerja pembikinan studio rumah ialah; (i) selalu bertanya kepada yang pakar dan berpengalaman dan, (ii) rajin membuat sorotan video berkaitan peralatan yang perlu dibeli dan cara pembikinan studio rumah di platfom YouTube.
Segala maklumat kini di hujung jari, manfaatkanlah.
Jangan asyik keluar rumah. #kitajagakita dan secara seloroh orang utara kata jangan ketegaq.
Selamat mencuba dan tentunya ramai pakar di luar sana bersedia berkongsi ilmu dan tip bagaimana menghasilkan studio rumah impian anda.
* Ismail Ahmed ialah Pengarah Kebudayaan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!