Penduduk tempatan seolah-olah dipinggirkan
SEBERANG PERAI - Penduduk warga tempatan di Rumah Pangsa Jalan Terubuk di sini mengakui etnik Rohingya di sekitar kawasan itu bagaikan 'raja' kerana menerima pelbagai sumbangan.
Menurut mereka, berbeza dengan rakyat tempatan di kawasan itu yang seolah-olah terpinggir daripada menerima bantuan.
Rakyat tempatan yang hanya mahu dikenali sebagai Adnan, 30-an, berkata, dia telah menetap di kawasan berkenaan sejak 17 tahun lalu.
"Apa yang saya perhatikan, mereka (Rohingya) ini menimbulkan suasana yang membimbangkan. Ada di kalangan remaja mereka menunggang motosikal dalam keadaan berbahaya.
"Dari segi budaya kita lihat itu tidak cantik. Anak-anak mereka kadang dibiar tidak terjaga," katanya ketika ditemui Sinar Harian ketika operasi pemeriksaan yang dijalankan Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini pada Selasa.
Adnan turut mendedahkan kemudahan infrastruktur yang disediakan seperti surau di kawasan itu juga telah dikuasai oleh etnik berkenaan.
Malah, disebabkan jumlah etnik itu yang ramai, mereka telah hidup berpuak-puak dan membina surau berasingan.
"Ada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bantu mereka. Ada antara kami yang jadi mangsa Covid-19 dan kuarantin pun tidak dibantu, tetapi sebaliknya untuk mereka," katanya.
Katanya, etnik Rohingya itu telah berada kawasan tersebut dalam tempoh yang lama sehingga ada dalam kalangan mereka sudah beranak pinak.
Sementara itu, seorang lagi penduduk tempatan dikenali sebagai Rahmat, 30-an berkata, sekiranya kerajaan tidak bendung perkara itu, ia akan menjadi lebih parah.
"Mereka mampu bayar RM1,000 untuk sewa rumah di sini. Itu tidak jadi masalah kerana mereka boleh duduk ramai-ramai dalam satu rumah. Jika ada tiga bilik, boleh tiga keluarga.
"Ada juga antara mereka ini kerja sebagai kontraktor biarpun tanpa dokumen yang selengkapnya. Bagaimana mereka boleh ada peluang itu?
"Sedangkan orang kita sendiri sukar hendak buat permohonan kerana ia memerlukan banyak surat dan sijil berkaitan," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: RM3,000 dah boleh masuk Malaysia
'Pemegang kad UNHCR anggap mereka kebal'
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!