'Bukti' pajakan melombong baharu di Tasik Chini tidak benar

Gambar bersama kenyataan dakwa wujud bukti pajakan melombong di Tasik Chini yang dimuatnaik di sebuah akaun Facebook pada Isnin.
Gambar bersama kenyataan dakwa wujud bukti pajakan melombong di Tasik Chini yang dimuatnaik di sebuah akaun Facebook pada Isnin.
A
A
A

KUANTAN - Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Pahang menafikan dakwaan kenyataan bertajuk ‘PTG Pahang dakwa tiada lesen lulus selepas 2019, tetapi ada bukti pajakan melombong baharu lulus pada 2020’ yang disiarkan di sebuah laman sosial Facebook pada Isnin.

Pengarahnya, Datuk Fadzilla Salleh berkata, kenyataan tersebut tidak benar sebaliknya berdasarkan semakan, pajakan melombong yang dimaksudkan telah diluluskan pada 11 Disember 2013 dan didaftarkan pada 17 September tahun lalu atas nama sebuah syarikat.

Menurut beliau, permohonan Surat Kelulusan Skim Pengendalian Melombong (SKSPM) oleh syarikat tersebut telah ditolak oleh Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) pada 28 April lalu.

"Proses pendaftarannya mengambil masa kerana terlibat dengan permohonan penukaran nama dan penyediaan pelan pra-hitungan serta pelan akui dalam menentukan had sempadan kawasan lombong.

"Selain itu, penggunaan tahun pada nombor pajakan melombong yang didaftarkan merujuk kepada tahun sesuatu pajakan melombong itu didaftarkan dan bukan tahun pajakan melombong diluluskan," katanya melalui satu kenyataan pada Rabu.

Fadzilla berkata, tempoh pajakan melombong dan tempoh operasi merupakan dua perkara yang berbeza di mana operasi melombong hanya boleh dimulakan setelah mendapat kelulusan SKSPM dikeluarkan oleh JMG mengikut tempoh tertentu.

"Sekali lagi ditegaskan bahawa selepas Mac 2019, tiada lagi kelulusan baharu pajakan melombong dikeluarkan kerajaan negeri untuk aktiviti melombong di Tasik Chini," katanya.

Dua hari lalu, seorang aktivis memuat naik gambar 'signboard' bersama kenyataan mendakwa wujud bukti kelulusan baharu dikeluarkan untuk aktiviti melombong di kawasan Tasik Chini.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!