Muhyiddin digesa undur diri jika enggan buka Parlimen
SHAH ALAM - Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) menjunjung kasih pandangan dizahirkan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Mustafa Billah Shah supaya persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin.
Dalam kenyataan bersama mereka berkata, titah itu jelas menunjukkan bahawa Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin perlu menjunjung titah dan menasihati Seri Paduka Baginda untuk memanggil sidang Parlimen secepat mungkin.
Bagaimanapun menurut kenyataan itu, jika PM enggan menasihati Seri Paduka Baginda segera, beliau harus mengambil tindakan terhormat dengan mengundurkan diri.
“Kami mengambil maklum kenyataan media Penyimpan Mohor Besar Raja-raja bahawa Raja-Raja Pemerintah menyokong dan senada dengan pendirian Seri Paduka Baginda yang menzahirkan pandangan agar Parlimen bersidang segera.
“Amatlah penting Parlimen dibuka semula sekarang agar semak imbang tata kelola dan perjalanan pentadbiran Putrajaya dapat dilakukan," kata mereka.
Kenyataan tersebut dikeluarkan bersama Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.
Selain itu, kata mereka, Ordinan-ordinan Darurat serta Pelan Pemulihan Negara dapat dibahas, peruntukan perbelanjaan kerajaan bagi membantu rakyat dapat dibincang dan suara rintihan isi hati rakyat dapat didengar dengan jelas.
“Sekiranya PM terus berlengah atau memberi alasan untuk melewatkan sidang Parlimen, ia bukan sahaja bermaksud beliau telah mengetepikan pandangan Seri Paduka Baginda, malah memberi gambaran bahawa PM telah hilang keyakinan untuk terus mentadbir,” kata mereka.
Pada Rabu, Raja-Raja Melayu yang bermesyuarat dengan Yang di-Pertuan Agong berpendapat darurat tidak perlu disambung lagi selepas 1 Ogos dan pentingnya sebuah kerajaan stabil dan mendapat keyakinan serta mendapat sokongan majoriti rakyat.
ARTIKEL BERKAITAN Agong zahir pandangan sidang Parlimen perlu diadakan secepat mungkin
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!