Jangan ambil mudah cabaran Scotland
PENGENDALI England, Gareth Southgate mengingatkan pemain agar tidak memandang mudah aksi berdepan Scotland di Stadium Wembley pada awal pagi Sabtu bagi mengelakkan sebarang keputusan yang tidak diingini berlaku.
Malah Southgate turut menyifatkan Scotland sebagai antara pasukan yang dilihat mampu memberikan cabaran besar kepada skuad kendaliannya itu pada saingan Euro 2020.
Justeru menurutnya, kesemua pemain perlu memberikan fokus bagi mengharungi perlawanan ini dalam usaha layak ke pusingan 16 pasukan terbaik.
“Berdepan Scotland adalah antara cabaran besar buat kita. Walaupun kita berjaya pada perlawanan pembukaan dengan menewaskan Croatia dan pemain bergembira membalas dendam atas kekalahan pada separuh akhir Piala Dunia 2018 lalu; tetapi kali ini cabarannya berbeza.
“Bagi saya, Scotland adalah sebuah pasukan yang tidak boleh dipandang mudah. Mereka telah menunjukkan banyak peningkatan sejak akhir-akhir ini.
“Oleh itu, kami perlu memastikan segala persiapan berjalan lancar menjelang pertemuan dengan Scotland yang saya jangkakan akan menjadi perlawanan yang sukar bagi kami,” katanya.
Tambah Southgate, skuad The Three Lions itu juga diingatkan untuk beraksi bersungguh-sungguh dan tidak memberikan ruang kepada skuad The Tartan Terries itu menguasai bola dan melakukan percubaan ke pintu gol.
Sementara itu menurut Southgate fokus utama skuad The Three Lions ketika ini adalah untuk meraih slot ke pusingan 16 pasukan terbaik.
Katanya, perkara itu boleh direalisasikan dengan syarat memberikan fokus kepada aksi berdepan Scotland.
“Objektif utama kami adalah untuk layak ke pusingan seterusnya. Ia masih belum tercapai dan kami perlu mengharungi satu perlawanan penting iaitu menentang Scotland, pada Jumaat.
“Ia juga perlawanan yang penting untuk penyokong kami,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!