'Bantuan RM100 tapi proses dokumentasi macam mohon RM100,000'
SEREMBAN - Kerajaan Negeri Sembilan diminta supaya mengurangkan kerenah birokrasi berhubung permohonan bantuan kepada golongan terjejas akibat pandemik Covid-19.
Ahli Parlimen Jelebu, Datuk Jalaluddin Alias berkata, pihaknya menerima aduan mengenai borang permohonan bantuan Covid-19 yang disediakan oleh kerajaan negeri pimpinan Pakatan Harapan yang didakwa terlalu banyak birokrasi.
Menurutnya, pada musim pandemik ini, semua rakyat sama ada B40 atau M40 turut terkesan dan memerlukan bantuan.
"Kenapa perlu menyusahkan rakyat yang sudah sedia susah, bantuan bernilai RM100 kenapa perlu proses dokumentasi seperti mohon pinjaman RM100,000.
"Rakyat ramai yang susah, tidak kira B40 ke, M40 ke bantu sajalah. Kurangkan birokrasi tu dan bantu rakyat semuanya, jangan ambil kira dia ahli parti apa, undi apa, anak sapa, siapa bapa dia, bantu sahajalah," katanya dalam satu kenyataan di laman sosialnya pada Khamis.
Jelasnya, pada waktu seluruh negara sedang menghadapi masalah pandemik ini, hal politik menjadi nombor dua dan rakyat mesti diutamakan.
Dalam pada itu, Exco Hal Ehwal Wanita, Keluarga dan Kebajikan Negeri Sembilan, Nicole Tan Lee Koon menafikan tiada kerenah birokrasi dalam proses permohonan bantuan.
Sebaliknya, beliau menjelaskan, kerajaan hanya memerlukan maklumat asas daripada setiap pemohon untuk simpanan data jangka masa panjang.
"Setiap pemohon perlu mengisi borang bagi memudahkan kerajaan negeri merekodkan semua data penduduk di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) dan maklumat data itu akan membantu kerajaan negeri membina pangkalan data secara menyeluruh dan terkini," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis
Jelasnya, melalui pangkalan data ini, ia akan memudahkan kerajaan negeri menyalurkan bantuan pada masa akan datang.
"Bagaimanapun, mana-mana ibu atau bapa tunggal yang sebelum ini merupakan penerima bantuan, mereka tidak perlu sertakan dokumentasi seperti surat cerai atau sijil kematian kerana rekod mereka sudah sedia ada dalam maklumat kami," katanya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kepayang itu memberitahu, pemohon perlu mengisi borang bagi mengelakkan individu dalam rumah yang sama menerima bantuan.
Sepanjang pandemik Covid-19, kerajaan negeri menyediakan pelbagai inisiatif bantuan antara lain termasuklah bakul makanan, bantuan baucar makanan bernilai RM100, bantuan secara one off kepada penjaja tanpa premis, mereka yang hilang pekerjaan dan banyak lagi.
Pada Rabu, tular di media sosial dan kumpulan WhatsApp dalam kalangan penduduk di Parlimen Jelebu berkenaan dua keping borang permohonan bantuan Covid-19 kerajaan Negeri Sembilan pimpinan Pakatan Harapan.
Dalam borang tersebut, pemohon dikehendaki mengisi borang dan menyediakan dokumentasi pelbagai termasuk surat cerai dan sijil kematian sebelum bantuan diberikan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!