Komitmen PH Johor buka semula sidang DUN

Aminolhuda, Chin Tong dan Syed Ibrahim
Aminolhuda, Chin Tong dan Syed Ibrahim
A
A
A
JOHOR BAHRU - Pakatan Harapan (PH) Johor menyatakan komitmen untuk terus berbincang dan memberikan cadangan kepada Menteri Besar, Datuk Ir Hasni Mohammad terhadap usaha yang boleh diambil ke arah membuka semula persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor.

PH Johor dalam kenyataan bersama berkata, ia memandangkan DUN adalah platform terbaik untuk berbincang, berbahas serta mengusulkan dasar-dasar yang penting buat negeri itu.

"PH Johor menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selepas sesi Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu di Istana Negara semalam (Rabu).

"Pada masa yang sama, kami turut merafak sembah dengan kebijaksanaan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang telah memulakan inisiatif menitahkan agar satu permesyuaratan melibatkan semua ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) dan ahli Parlimen Johor rentas parti diadakan segera bagi membincangkan hal berkaitan Covid-19 di Johor seawal Mei lalu.

"Johor menjadi suri tauladan apabila mesyuarat tersebut direalisasikan pada 27 Mei lalu secara atas talian dan dipengerusikan oleh Menteri Besar Johor," menurut kenyataan itu.

Kenyataan bersama itu dibuat tiga pemimpin PH Johor iaitu Pengerusi Parti Amanah Negara Johor, Aminolhuda Hassan yang juga Pengerusi PH Johor; Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Johor, Syed Ibrahim Syed Noh dan Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Johor, Liew Chin Tong

Jelas kenyataan berkenaan, semua pihak perlu dilibatkan tanpa mengira fahaman politik bagi menggembeleng usaha, mengurus serta melawan Covid-19.

"Sepertimana 'cara Johor', pihak kerajaan dan pembangkang adalah rakan strategik, bukan seteru politik.

"Sekali lagi PH Johor menegaskan, kami akan terus menawarkan kerjasama terbaik dalam usaha melawan Covid-19 serta mengembalikan segera peranan sidang DUN ini demi kebaikan rakyat," jelas kenyataan itu.
Artikel Berkaitan:


ARTIKEL BERKAITAN: Agong zahir pandangan sidang Parlimen perlu diadakan secepat mungkin

Sinar Harian semalam melaporkan, Raja-Raja Melayu bersetuju supaya tiada keperluan untuk meletakkan negara di bawah pemerintahan darurat selepas 1 Ogos ini dan menyokong pendirian Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah agar persidangan Parlimen diadakan segera.

Menurut Penyimpan Mohor Besar Raja-raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad, raja-raja pemerintah berpendirian pentingnya mekanisme semak dan imbang antara cabang eksekutif, legaslatif dan kehakiman dihormati.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!