Titah Agong mahu Parlimen bersidang segera selari hasrat kerajaan: Azmin

Datuk Mohamed Azmin Ali mengadakan sidang akhbar selepas melawat Program Imunisasi Industri Covid-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) di Pusat Pemberian Vaksin Golf Jawi Resort pada Khamis. - Foto Bernama
Datuk Mohamed Azmin Ali mengadakan sidang akhbar selepas melawat Program Imunisasi Industri Covid-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) di Pusat Pemberian Vaksin Golf Jawi Resort pada Khamis. - Foto Bernama
A
A
A

JAWI - Titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah agar persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin bagi menangani Covid-19 dan menyelamatkan ekonomi negara adalah selaras dengan hasrat kerajaan.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, kerajaan sentiasa memastikan apa sahaja tindakan atau usaha yang diambil perlu berpegang kepada Perlembagaan dan undang-undang negara.

Menurutnya, kerajaan juga berhasrat mengadakan sidang Parlimen dalam masa yang sesuai supaya proses demokrasi terus disuburkan.

"Beberapa tindakan yang diambil dalam tempoh setahun yang lalu, semuanya berlandaskan lunas Perlembagaan dan undang-undang negara. Dalam konteks sidang Parlimen, Perdana Menteri sendiri selaku Ketua Majlis Keselamatan Negara (MKN) beberapa hari lalu telah menyatakan Parlimen akan diadakan.

"Beliau tidak pernah mengatakan Parlimen tidak akan bersidang. Bagaimanapun, selaku ketua MKN, beliau bertindak mengikut peruntukan Perlembagaan, standing order dalam Parlimen serta mengikut masa sesuai (untuk bersidang).

"Bagi saya, Titah Yang di-Pertuan Agong selari dengan hasrat kerajaan untuk mengadakan sidang Parlimen pada masa yang sesuai supaya proses demokrasi ini akan terus disuburkan," katanya pada sidang akhbar selepas melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Program Imunisasi Industri Covid-19 Awam- Swasta (PIKAS) di Bukit Jawi Golf Resort di sini pada Khamis.

Turut hadir Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow.

ARTIKEL BERKAITAN:Agong zahir pandangan sidang Parlimen perlu diadakan secepat mungkin

Semalam, Yang di-Pertuan Agong bertitah agar persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin bagi menangani Covid-19 dan menyelamatkan ekonomi negara.

Artikel Berkaitan:

Menurut Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin, perkara itu perlu dilaksanakan untuk membolehkan Ordinan-Ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara dibahaskan oleh Ahli-ahli Dewan Rakyat.

Ahmad Fadil berkata, Yang di-Pertuan Agong turut menzahirkan pandangan bahawa perlu adanya pentadbiran kerajaan yang stabil dan kukuh serta berupaya berfungsi dengan efektif dalam menangani wabak Covid-19 dan memulihkan ekonomi negara.

Mengulas mengenai titah Seri Paduka Baginda yang menzahirkan kerajaan perlu bertindak tegas memudahkan birokrasi dan mempercepatkan proses vaksinasi kepada rakyat, Mohamed Azmin berkata, sebelum ini kerajaan melaksanakan pelbagai langkah bagi mempercepatkan matlamat 80 peratus imuniti kelompok dicapai.

"Kita telah melaksanakan program PIKAS dan Program Imunisasi Kebangsaan (PICK) yang tujuannya adalah untuk mempercepatkan seluruh proses vaksinasi bagi mencapai matlamat imuniti berkelompok. Apabila matlamat itu dicapai, kita akan dapat memulihkan ekonomi negara.

"Semua ini bermatlamat yang terbaik untuk rakyat dan negara. Perdana Menteri tidak pernah ambil tindakan secara uniliteral (tidak sepihak) malah dalam mesyuarat MKN juga, ia melibatkan semua pimpinan negeri.

"Ia penting bagi kerajaan mendengar pandangan pelbagai pihak sebelum membuat keputusan. Kita juga dapat melihat kejayaan yang dicapai antaranya dalam memerangi Covid-19," katanya.

Beliau berkata, jangkaan kes baharu akan mencapai 13,000 sehari pada 14 Jun lalu tidak berlaku menunjukkan usaha kerajaan selama ini berhasil antaranya pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam pelbagai peringkat.

"Selain pelaksanaan PKP, kerajaan juga berusaha dengan pemberian peruntukan berbilion ringgit kepada Kementerian Kesihatan (KKM) agar sistem kesihatan tidak lumpuh. Inilah antara langkah yang kita ambil dalam tempoh setahun ini.

"Oleh sebab itu, kita berjaya membuktikan jangkaan 13,000 kes baharu pada 14 Jun tidak berlaku sebaliknya hanya 4,900 kes sahaja dilaporkan. Kerajaan juga mengambil pendapat beberapa pakar pelbagai bidang antaranya pakar keselamatan, ekonomi dan kesihatan.

"Semua ini diambil untuk kepentingan negara dengan bersandarkan Perlembagaan dan undang-undang. Saya gembira melihat kejayaan yang kita capai pada hari ini," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!