Bas kilang, van bawa lebih pekerja dikompaun RM22,000

Bas kilang yang membawa pekerja melebihi muatan. - Foto Polis JBS
Bas kilang yang membawa pekerja melebihi muatan. - Foto Polis JBS
A
A
A

JOHOR BAHRU- Padah membawa lebih penumpang, tiga lelaki termasuk pemilik bas kilang dikompaun RM22,000 kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Mohd Padzli Mohd Zain berkata, kesemua suspek ditahan sewaktu melalui sekatan jalan raya secara bergerak di Taman Daya, di sini pada malam Rabu.

"Semasa sekatan jalan raya itu, kita telah menahan dua lelaki berumur 55 dan 59 tahun yang juga pemandu van dan bas pekerja kilang kerana didapati gagal mematuhi SOP PKP yang tidak membenarkan kapasiti penumpang melebihi 50 peratus di dalam kenderaan.

"Kita juga telah menghubungi majikan pemandu bas iaitu seorang lelaki berusia 70 tahun dan diminta tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan bagi siasatan lanjut.

"Hasil siasatan lanjut oleh pihak polis terhadap lelaki tersebut telah mengaku sebagai pemilik bas pekerja kilang berkenaan," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Pekerja yang menaiki van melebihi muatan. - Foto Polis JBS
Pekerja yang menaiki van melebihi muatan. - Foto Polis JBS

Jelas Mohd Padzli, ketiga-tiga lelaki itu telah ditahan di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah IPD Johor Bahru Selatan bagi tindakan kompaun di bawah kesalahan Peraturan 17 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021.

Katanya, pemandu van dan pemilik bas pekerja kilang tersebut telah dikompaun sebanyak RM10,000 setiap seorang manakala pemandu bas pekerja kilang telah dikompaun sebanyak RM2,000.

Artikel Berkaitan:

Beliau turut mengingatkan kepada semua pemilik kenderaan dan penumpang supaya mematuhi segala SOP yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam sesebuah kenderaan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!