Pejuang Muda cadang buat laporan polis terhadap Takiyuddin
SHAH ALAM - Pejuang Muda iaitu sayap kepada Parti Pejuang Tanahair (Pejuang) bercadang membuat laporan polis agar siasatan dibuat terhadap Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan berhubung kenyataan yang dibuatnya pada Khamis.
Ketuanya, Dr Abu Hafiz Salleh Hudin menyifatkan kenyataan 'secepat mungkin' yang dikeluarkan Takiyuddin sengaja dan berniat jahat merendahkan titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah serta raja-raja Melayu.
“Perlu diketahui, berdasarkan rekod, titah pembukaan semula Parlimen oleh Yang di-Pertuan Agong ini adalah kali kedua. Pada 24 Februari lalu, Seri Paduka Baginda telah menitahkan hal yang sama.
“Namun, kerajaan Perikatan Nasional (PN-BN-Pas) kekal angkuh dengan menolak pembukaan Parlimen,” katanya menerusi satu kenyataan pada Khamis.
Yang di-Pertuan Agong sebelum ini bertitah agar persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin bagi menangani Covid-19 dan menyelamatkan ekonomi negara.
Takiyuddin ketika Bicara Harakah bertajuk 'Proklamasi Darurat: Berjaya Atau Sebaliknya' yang disiarkan secara maya pada malam Rabu berkata, pandangan dizahirkan Yang di-Pertuan Agong supaya persidangan Parlimen dibuat secepat mungkin tidak memperincikan bila ia perlu diadakan.
Mengulas lanjut, Abu Hafiz berkata, buat masa ini kerajaan PN adalah pemilik kuasa eksekutif dalam menjalankan urus tadbir negara ini dan mempunyai hak mencadang atau menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk membuka atau membubarkan Parlimen.
“Adalah amat logik dan dapat difahami bahawa segala tindak tanduk kerajaan PN-BN-Pas tidak akan merisikokan kedudukan mereka sebagai kerajaan atau membuka ruang keabsahan legitimasi kerajaan mereka dicabar di Parlimen.
“Kegagalan yang sedang dihadapi oleh Malaysia ketika ini adalah kerana kerajaan PN-BN-Pas masih dibiarkan memegang kuasa eksekutif.
“Dengan memindahkan kuasa eksekutif dari kerajaan gagal PN-BN-Pas, amat diyakini bahawa keadaan semasa Malaysia boleh ditambah baik dan diselamatkan,” katanya.
Disebabkan itu, katanya, Pejuang telah mencadangkan Majlis Pemulihan Negara (MPN) untuk memindahkan kuasa eksekutif dari kerajaan gagal PN-BN-Pas kepada satu badan khas dengan membuka Parlimen untuk proses demokrasi serta semak imbang terus berjalan serentak.
“Pejuang Muda masih kekal berkeyakinan bahawa MPN adalah solusi terbaik bagi mengelakkan konflik politik, krisis kesihatan dan ekonomi daripada terus memburuk serta tiada titik noktah,” jelasnya.
ARTIKEL BERKAITAN: Agong berpandangan secepat mungkin, tak sebut bulan berapa: Takiyuddin
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!