China berjaya lancarkan Shenzhou-12
JIUQUAN - Kapal angkasa pembawa angkasawan Shenzhou-12 berjaya dilancarkan di Pusat Pelancaran Satelit Jiuquan China pada 9.22 pagi Khamis sebelum dihantar ke orbit mengikut jadual.
Kejayaan pelancaran kapal angkasa yang membawa tiga angkasawan itu dianggap selangkah lagi kemajuan dalam misi penubuhan Stesen Angkasa Lepas China.
Misi angkasa lepas Shenzhou-12 kali ini turut disifatkan sebagai projek penerbangan angkasa lepas yang membawa angkasawan pertama sewaktu pembinaan Stesen Angkasa Lepas China dan misi penerbangan keempat ketika menguji teknologi penting berkaitan dengan pembinaan dan pengoperasian stesen angkasa lepas.
Ketiga-tiga angkasawan tersebut dijadualkan berada di angkasa lepas selama tiga bulan untuk menjalankan misi seperti menyelenggara dan membaik pulih kemudahan serta menggantikan peralatan di luar kenderaan kapal angkasa lepas.
Kapal angkasa pembawa angkasawan Shenzhou-12 merupakan kapal angkasa lepas dengan standard rekaan tertinggi oleh China dan paling baik prestasinya setakat ini.
Difahamkan kapal angkasa tersebut terdiri tiga modul melibatkan modul orbit, kapsul kemasukan semula dan modul perkhidmatan belakang, selain turut dilengkapi 14 sistem cawangan.
Sementara itu, roket pembawanya, Long March-2F Y12 pula telah dinaikkan taraf dari segi kredibiliti dan kebolehsesuaian bagi menjayakan misi pelancarannya yang ke-14. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!