Kerajaan sedia buka PPV secara 'walk in'
KOTA BHARU - Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di seluruh negara akan dibuka secara 'walk in' selepas kesemua individu yang berdaftar selesai menerima vaksin Covid-19.
Menteri Penyelaras Program Imunisasi Kebangsaan Covid-19 (PICK), Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, kerajaan menjangkakan proses suntikan vaksin dapat diselesaikan akhir tahun ini atau lebih awal.
"Kita yakin selepas selesai suntikan vaksin kepada mereka yang berdaftar, kita akan buka secara 'walk-in' di semua PPV," katanya selepas menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Peringkat Negeri Kelantan pada Khamis.
Hadir sama, Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob.
Dalam perkembangan lain, Khairy yang merupakan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata, jumlah pendaftaran vaksin dalam kalangan orang asli di Kelantan ketika ini bukan satu masalah besar.
Beliau berkata, Program Outreach Vaksinasi Covid-19 yang dijalankan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan ketika ini merupakan salah satu langkah terbaik untuk memberi penerangan mengenai kepentingan vaksin dan suntikan kepada orang asli.
“Saya tidak risau dengan jumlah pendaftaran vaksin Covid-19 yang rendah dalam kalangan orang asli. Strategi kita adalah ‘mobile outreach’.
"Kita terus pergi dan terus suntik vaksin Covid-19 kepada mereka," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!