Kerajaan ambil langkah susulan urus pandemik Covid-19
PUTRAJAYA - Kerajaan mengambil langkah-langkah susulan berdasarkan Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang dalam pengurusan Pandemik Covid-19.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam kenyataannya berkata, dalam sesi menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, beliau telah menyembah maklum dan menasihati mengenai perkara itu.
"Ia termasuklah penguatkuasaan Ordinan-Ordinan Darurat, pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, pakej-pakej rangsangan ekonomi dan bantuan kewangan kepada rakyat, pelaksanaan sidang Parlimen, Pelan Pemulihan Negara dan perkara-perkara lain yang berkaitan," katanya pada Khamis.
Menurut beliau, kerajaan mengambil maklum titah pandangan Seri Paduka Baginda sepertimana yang terkandung dalam kenyataan Istana Negara pada Rabu.
Seri Paduka Baginda bertitah agar persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin bagi menangani Covid-19 dan menyelamatkan ekonomi negara.
Menurut Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin, perkara itu perlu dilaksanakan untuk membolehkan Ordinan-ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara dibahaskan oleh ahli-ahli Dewan Rakyat.
Yang di-Pertuan Agong turut menzahirkan pandangan antaranya kerajaan perlu bertindak tegas memudahkan birokrasi dan mempercepatkan proses vaksinasi kepada rakyat agar matlamat imuniti kelompok 80 peratus dapat dicapai seawal mungkin.
ARTIKEL BERKAITAN: Kerajaan perlu mudahkan birokrasi, percepatkan proses vaksinasi: Agong
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!