Ekonomi negara tunjuk tanda pemulihan: Azmin
SEBERANG PERAI - Kerajaan akan menunggu dan menilai prestasi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi suku kedua (Q2) tahun ini sebelum memutuskan keperluan menyemak semula unjuran pertumbuhan 6 hingga 7.5 peratus susulan pelaksanaan Sekatan Pergerakan Penuh yang bermula 1 Jun lalu.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, bagaimanapun negara kini menunjukkan tanda-tanda pemulihan ekonomi bagi tempoh tersebut.
Menurutnya, Bank Negara Malaysia (BNM) dan Kementerian Kewangan sedang melihat perincian prestasi Q2 memandangkan Sekatan Pergerakan Penuh yang dilaksanakan akan memberi kesan kepada ekonomi.
"Bagaimanapun, keputusan untuk melaksanakan Sekatan Pergerakan Penuh adalah perlu yang mana ia adalah langkah kerajaan untuk terus melindungi rakyat. Kita tidak akan berkompromi dengan nyawa rakyat walaupun ia memberi kesan negatif terhadap ekonomi.
"Tahun ini, kita melihat tanda-tanda pemulihan pada Q2 yang mana prestasi menunjukkan perdagangan dan pelaburan langsung asing (FDI) mula masuk. Ia mencerminkan tahap keyakinan pelabur asing untuk terus melabur di Malaysia," katanya ketika sidang akhbar selepas melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Program Imunisasi Industri Covid-19 Awam-Swasta (Pikas) di Bukit Jawi Golf Resort, Jawi di sini pada Khamis.
Turut hadir, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow.
Katanya, sebagai contoh, negara pada minggu lalu menerima pelaburan berjumlah RM8.5 bilion daripada sebuah syarikat pembuatan papan litar bercetak (PCB) dari Austria yang akan membuka kilang pengeluaran di Kulim Hi-Tech Park (KHTP), Kedah.
"Proses pemulihan ekonomi negara dapat berlaku dengan lebih pantas sekiranya matlamat dan sasaran 80 peratus imuniti kelompok dalam masyarakat dapat dicapai dengan segera.
"Saya yakin jika kita dapat mempercepatkan program pemberian vaksin dan mencapai matlamat imuniti kelompok seperti disasarkan, kita juga dapat mempercepatkan proses pemulihan ekonomi negara," katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Mohamed Azmin berkata, beliau berharap sasaran komuniti kelompok dalam kalangan lebih dua juta pekerja sektor pembuatan dapat dicapai menjelang September ini.
Beliau berkata, perkara itu berdasarkan jaminan Kementerian Kesihatan yang mana bekalan vaksin sama ada untuk Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) atau Pikas akan ditingkatkan pada bulan depan dan Ogos.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!