Johor sedia adakan sidang DUN dalam masa terdekat

 Datuk Hasni Mohammad
Datuk Hasni Mohammad
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kerajaan negeri Johor bersedia mengadakan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) segera sebagaimana yang termaktub dalam Undang-undang Tubuh Negeri Johor.

Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad berkata, satu tarikh yang sesuai sedang dikenal pasti bagi membolehkan sidang DUN berkenaan dapat dijalankan dalam masa terdekat.

"Saya mewakili kerajaan Johor menjunjung kasih dan amat mengalu-alukan titah dan pandangan yang dibuat oleh Raja-raja Melayu.

"Persidangan Khas Raja-raja Melayu pada Rabu menyatakan dengan jelas pendirian mengenai Ordinan-ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara dalam menangani pandemik Covid-19," katanya menerusi satu kenyataan pada Khamis.

Hasni yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Benut berkata, pihaknya sentiasa mengalu-alukan pandangan pemimpin kerajaan dan pembangkang dalam mendepani cabaran Covid-19.

"Atas nasihat Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, saya telah mengadakan perbincangan khas secara maya mengenai langkah-langkah yang boleh diambil dalam mendepani pandemik Covid-19 bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan ahli Parlimen pada 27 Mei lalu.

"Kerajaan Johor sentiasa menjunjung tinggi proses serta amalan demokrasi. Cara Johor sejak dahulu lagi amat menekankan aspek permuafakatan," kata beliau.

Ketika ini, terdapat 56 kerusi DUN Johor membabitkan UMNO dan DAP masing-masing 14 kerusi, selain Parti Pribumi Bersatu Malaysia (12), Parti Amanah Negara (sembilan), Parti Keadilan Rakyat (empat), MIC (dua) dan Pas (satu).

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!