Rakyat diseru ikuti bacaan Yasin sempena keputeraan Sultan Kedah
ALOR SETAR - Kerajaan Kedah akan menganjurkan Majlis Bacaan Yassin Khas sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah Ke-79 secara dalam talian pada Khamis jam 8.15 malam.
Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Datuk Paduka Ammar Shaikh Mahmood Naim berkata, bacaan itu akan dipimpin oleh Mufti Kedah, Datuk Syeikh Fadzil Awang.
Katanya, demi menzahirkan rasa cinta dan taat setia kepada baginda, seluruh rakyat negeri Kedah dijemput untuk menyertai majlis bacaan Yasin terbabit yang akan diadakan secara 'live streaming' melalui pautan Facebook Live' di https://www.facebook.com/kedah.gov.my/.
"Majlis ini diadakan bagi menghargai pemerintahan baginda sebagai ketua pemerintah di negeri ini memandangkan kerajaan telah memutuskan untuk tidak mengadakan sebarang bentuk program atau majlis secara bersemuka sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Kedah Ke-79 berikutan kes jangkitan harian Covid-19 yang masih tinggi," katanya.
Tambah Ammar, beliau turut mendoakan semoga Tuanku Sultan Sallehuddin serta Tuanku Sultanah Maliha Tengku Ariff serta kerabat baginda dikurniakan kesejahteraan, dilanjutkan usia serta sentiasa dalam keadaan sihat walafiat untuk terus memerintah dan bersemayam di atas takhta singgahsana kerajaan negeri Kedah dengan penuh kebesaran dan kemuliaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!