Peng Soon, Lui Ying mara ke final
PASANGAN beregu campuran profesional Malaysia, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying hanya selangkah untuk merangkul gelaran juara buat kali kedua pada Kejohanan Badminton Kebangsaan 2019.
Pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016 itu mara ke pentas final selepas berhempas pulas menewaskan Tan Kian Meng-Peck Yen Wei; 18-21, 21-14, 21-7 pada aksi separuh akhir kejohanan itu yang berlangsung di Arena Badminton Perak di sini, petang tadi.
Ketika ditemui pemberita selepas perlawanan, Liu Ying berkata tiada tekanan bagi mereka untuk memburu kemenangan sebaliknya lebih kepada melakukan yang terbaik.
"Tiada tekanan, kami bermain seperti biasa dan menganggap perlawanan ini sebagai latihan pemanas badan sebelum kejohanan Terbuka Jerman dan All England," katanya, yang kali terakhir muncul juara kebangsaan, bergandingan dengan Peng Soon, lapan tahun lepas.
Pada perlawanan akhir esok, Peng Soon-Liu Ying akan menentang Hoo Pang Ron-Shevon Lai yang menumpaskan pasangan Chen Tang Jie-Lai Pei Jing; 21-19, 12-21, 21-11.
Dalam pada itu, pemain perseorangan wanita negara Goh Jin Wei tidak berdepan masalah menundukkan Lee Ying Ying 21-6, 21-7 untuk mara ke perlawanan akhir.
Jin Wei akan berdepan juara bertahan, Sonia Cheah Su Ya yang menewaskan pilihan keempat Lim Yin Fun; 18-21, 21-19, 21-14, pada aksi final esok.
Sementara itu, perlawanan akhir perseorangan lelaki bakal menyaksikan pertembungan antara Soong Joo Ven dan Leong Jun Hao.
Pada aksi separuh akhir hari ini, Joo Ven menewaskan Lim Chi Wing; 23-21, 21-11 manakala Jun Hao mengalahkan Lim Chong King; 16-21, 21-13, 21-18.
Kategori beregu wanita pula akan menyaksikan Anna Cheong Ching Yik-Lim Chiew Sien bertemu Cheah Yee See-Teoh Mei Xing selepas mereka menewaskan lawan masing-masing, Yap Rui Chen-Yap Yee; 21-9, 21-18 dan Ng Qi Xuan-Desiree Siow Hao Shan; 18-21, 21-19, 21-14.
Dalam pada itu, hasrat pasangan beregu lelaki profesional negara, Goh V Shem-Tan Wee Kiong untuk mempertahankan gelaran tidak kesampaian apabila tewas; 13-21, 27-25, 22-24 kepada Ong Yew Sin-Teo Ee Yi pada aksi separuh akhir.
Menanti Yew Sin-Ee Yi pada perlawanan akhir ialah gandingan Aaron Chia Teng Fong-Soh Wooi Yik yang mengalahkan Lee Jian Yi-Lim Zhen Ting; 21-18, 21-16. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!