'Jangan wakilkan orang lain solat Jumaat'
IPOH - Tindakan ahli jawatankuasa (AJK) kariah mahupun pegawai masjid dan Surau Diri Jumaat (SDJ) mewakilkan atau mengganti orang lain menghadiri solat Jumaat secara sengaja tanpa sebarang keuzuran dikira sebagai berdosa.
Timbalan Mufti Perak, Datuk Zamri Hashim berkata, Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak kali ke-223 yang bersidang pada 14 Jun lalu menetapkan bahawa wajib ke atas mana-mana AJK kariah mahupun pegawai masjid dan SDJ melaksanakan solat Jumaat seperti mana arahan pihak pemerintah.
Menurutnya, ketaatan terhadap perkara itu dikira wajib dan termasuk di dalam firman ALLAH SWT dalam Surah al-Nisa' ayat 59 yang bermaksud; Wahai orang-orang beriman, taatilah ALLAH dan taatilah Rasul dan para pemimpin dalam kalangan kamu (Ulil Amri).
"Bagi mereka yang tidak ditetapkan atau dibenarkan oleh pihak pemerintah, maka pelaksanaan solat Jumaat mereka di masjid atau SDJ tersebut sah namun dikira berdosa kerana melanggar ketetapan yang dibuat.
"Pelaksanaan solat Jumaat tersebut terlaksana dan pihak-pihak yang cuai untuk mencukupkan bilangan seramai 12 orang seperti ditetapkan juga dikira berdosa," katanya menerusi pekeliling Pematuhan Pelaksanaan Solat Jumaat dan Solat Berjemaah di Masjid dan SDJ Sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang dikongsi Facebook Jabatan Mufti Negeri Perak pada Khamis.
Sementara itu, Zamri berkata, Jabatan Mufti Perak menerima aduan mengenai pelanggaran pelaksanaan solat Jumaat yang dihadiri individu bukan dalam kalangan AJK kariah atau pegawai masjid dan SDJ.
Menurutnya, Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah selaku ketua agama menerusi siaran media pada 31 Mei 2021 menitahkan secara jelas penetapan pelaksanaan solat Jumaat di seluruh masjid dan SDJ hendaklah mencukupi bilangan 12 orang termasuk imam dan ahli jawatankuasa kariah.
Beliau berkata, sekiranya terdapat AJK kariah mempunyai keuzuran menunaikan solat Jumaat menurut syarak, mereka perlu diganti dengan segera oleh individu dalam kalangan jawatankuasa kecil bagi kariah masjid atau SDJ berkenaan.
Menurutnya, AJK kariah dan pegawai terlibat perlu sedaya upaya mengimarahkan solat Jumaat bagi melaksanakan syariat serta meninggikan syiar Islam.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!