PM berulang kali sebut adakan sidang Parlimen secepat mungkin
SHAH ALAM - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menyifatkan keperluan untuk mengadakan sidang Parlimen secepat mungkin adalah satu perkara yang disebut Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin malah diulang sekali lagi semasa mengumumkan Pelan Pemulihan Negara pada Selasa.
Ketua Penerangan Bersatu, Wan Saiful Wan Jan berkata, semua pihak perlu mendoakan agar pelaksanaan pelan pemulihan tersebut segera menunjukkan hasil.
“Langkah-langkah susulan juga sedang diambil oleh kerajaan. Sudah semestinya yang paling penting ialah semua tindakan kita mesti dipandu oleh perlembagaan dan undang-undang negara,” katanya menerusi akaun Facebook milik beliau pada Khamis.
Wan Saiful turut menghormati pendirian Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja-raja Melayu agar persidangan Parlimen diadakan segera.
Beliau berkata, pandangan yang dinyatakan itu jelas menunjukkan betapa Seri Paduka Baginda prihatin dan sentiasa mengambil berat mengenai kebajikan rakyat dan tadbir urus negara.
“Saya menjunjung kasih dan merafak sembah atas keprihatinan tinggi yang dizahirkan oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu serta terutamanya Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong melalui kedua-dua kenyataan yang dikeluarkan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut meminta semua pihak memberikan tumpuan kepada usaha-usaha memerangi wabak Covid-19, kempen pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dan juga kempen vaksinasi.
“Semua jentera Bersatu akan terus istiqamah membantu masyarakat yang memerlukan melalui bahagian-bahagian dan cawangan-cawangan parti di seluruh negara.
“Kita mesti segera keluar daripada belenggu wabak ini supaya kita dapat kembali kepada kehidupan harian seperti biasa,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!