Penipuan tawaran kerja guna e-dagang catat peningkatan
KUALA LUMPUR - Kes penipuan tawaran kerja menggunakan platform e-dagang mencatatkan peningkatan sehingga 15 Jun lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mahidisham Ishak berkata, statistik berkenaan dicatatkan sejak Mac 2021.
"JSJK Kuala Lumpur telah membuka dan menjalankan siasatan ke atas 33 kertas siasatan berkaitan kes penipuan tawaran kerja menggunakan platform e-dagang yang melibatkan kerugian sebanyak RM394,064.
"Peningkatan jumlah kes ini merupakan satu situasi yang perlu ditangani secara serius oleh masyarakat," katanya menerusi kenyataan pada Khamis.
Katanya, kes penipuan ini menggunakan pelbagai helah untuk mengaburi mata orang ramai agar terpengaruh.
"Modus operandi yang digunakan untuk memperdayakan mangsa terdiri daripada tiga fasa, fasa yang pertama, sindiket akan menyebarkan mesej tawaran kerja melalui aplikasi WhatsApp.
"Mangsa ditawarkan untuk membeli barangan di platform e-dagang dan dijanjikan komisen bagi setiap pembelian yang dibuat, mangsa yang berminat dengan tawaran tersebut akan diminta mengisi butiran peribadi," katanya.
Menurutnya, pada fasa kedua, mangsa akan dimasukkan ke dalam grup WhatsApp untuk membeli barangan melalui e-dagang.
"Selepas mangsa terpengaruh dan berminat, pada fasa ketiga, mangsa akan terima mesej daripada ahli sindiket bersama-sama link e-dagang dan nombor akaun yang ditetapkan oleh sindiket.
"Mangsa akan diminta membuat transaksi ke dalam akaun tersebut, selepas wang dimasukkan, sindiket telah gagal dihubungi menyebabkan mangsa kerugian wang pembelian," katanya.
Tegasnya, orang ramai perlu sentiasa berhati-hati dengan pelbagai helah dan taktik yang digunakan.
Beliau turut menegaskan supaya data peribadi atau identiti diri tidak didedahkan kepada mana-mana individu yang tidak dikenali atau baru dikenali di internet serta tidak mudah terpengaruh dengan tawaran pekerjaan dengan gaji tinggi.
"Orang ramai perlu membuat semakan nombor http://ccid.rmp.gov.my/semakmule/ sebelum membuat sebarang transaksi serta membuat semakan latar belakang syarikat atau majikan sebelum memohon pekerjaan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!