Pemulihan industri hartanah dijangka perlahan pada separuh kedua

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

PEMULIHAN industri hartanah di Malaysia pada separuh kedua tahun ini mungkin terjejas oleh masalah dalam sektor pembinaan yang menghadapi tekanan berkaitan bekalan bahan mentah.

Pengarah Eksekutif CBRE Research Asia Pasifik (APAC), Ada Choi berkata, pasaran sewaan di Malaysia, bagaimanapun akan kekal stabil kerana firma penyelidikan itu hanya menjangkakan penurunan sederhana dalam sewaan kurang daripada lima peratus untuk tahun 2021.

"Walaupun sekatan perjalanan yang sama di beberapa negara di rantau APAC, kami menjangkakan gelombang Covid-19 ketika ini dapat dikawal dengan lebih pantas. Saya melihat akan ada peningkatan tetapi ia mungkin dilihat daripada permintaan dan pemulihan pada paras sewaan.

"Di peringkat serantau, ekonomi dijangka akan pulih meskipun pemulihannya perlahan di Jepun dan India," katanya dalam sesi maya Maybank Invest ASEAN 2021 bertajuk ‘Real Estate ASEAN: Path To Recovery’ hari ini.

Ada Choi yang juga Ketua Penyelidikan mengenai Penghuni dan Ketua Maklumat Data dan Pengurusan di firma penyelidikan itu berkata, pasaran sewaan di Singapura sudah mulai stabil dan lebih banyak pelaburan akan kembali ke republik itu.

Mengenai sewaan pejabat pada masa depan, Ada Choi berkata, tuan tanah perlu memikirkan semula pengalaman pengguna kerana penghuni tidak lagi menggunakan ruang tersebut kerana sewa dan lokasi tetapi lebih bergantung kepada ciri-ciri struktur bangunan tersebut.

"Ini termasuk pilihan pejabat yang fleksibel, perkongsian ruang mesyuarat, tetapan teknologi mampan atau terkini. Ini akan menjadi antara prasyarat untuk penyewa yang mempunyai kedudukan kewangan stabil," katanya.

Beliau juga menyatakan bahawa pelaburan di sektor hartanah di rantau ini terus berkembang kerana penyelidikan menunjukkan bahawa 96 peratus responden akan meningkatkan tahap pelaburan mereka terutama di Australia, Hong Kong dan Singapura.

Artikel Berkaitan:

Ini menunjukkan bahawa ada peluang di segmen seperti logistik, penambahan nilai atau pengubahsuaian di segmen tertentu, iaitu untuk peti sejuk beku, peruncitan dan hotel.

"Kami menjangkakan volum pelaburan hartanah baharu akan meningkat sebanyak 10 peratus tahun ini, ia masih merupakan pertumbuhan yang baik, walaupun kurang dari tahap sebelum krisis," katanya.

Beliau berkata, pemulihan dalam permintaan penyewa akan menjadi kekal pada separuh kedua tahun 2021 terutama ketika lebih ramai orang akan kembali ke pejabat dan mempunyai pemahaman yang lebih baik mengenai bekerja secara hibrid.

"Secara keseluruhan, pasaran masih menyebelahi penyewa kerana banyak pasaran akan mulai pulih di segmen pajakan dan sewaan.

"Penyewa harus bertindak sebelum pasaran pulih sepenuhnya dan untuk aktiviti pelaburan yang semakin rancak. Ia boleh menjadi lebih kompetitif," katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!