PPV pandu lalu OKU bantu capai matlamat imuniti kelompok lebih cepat

Ras Adiba - Foto Fail Bernama
Ras Adiba - Foto Fail Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Covid-19 secara pandu lalu untuk orang kurang upaya (OKU) yang bermula pada Rabu adalah bertujuan membantu kerajaan mencapai matlamat mewujudkan imuniti kelompok di negara ini dengan lebih cepat melalui penyediaan akses mudah kepada golongan itu dan penjaga mereka untuk menerima suntikan.

Pengerusi badan bukan kerajaan, OKU Sentral, Senator Datuk Ras Adiba Radzi berkata, kebanyakan komuniti OKU masih dilihat agak ketinggalan dan program tersebut dijangka mampu merapatkan jurang itu.

Beliau turut menyifatkan langkah menyediakan pusat vaksinasi secara pandu lalu untuk OKU sebagai tindakan yang amat bertimbang rasa kerana kesukaran bergerak masih menjadi antara masalah utama dihadapi golongan itu dan program ini akan memastikan lebih ramai tampil mendapatkan suntikan.

“Saya berpendapat adalah penting untuk semua pihak bersatu pada masa-masa yang sukar ini, apabila semua orang menghulurkan bantuan kita boleh wujudkan program gotong-royong moden sama ada dari segi idea, masa, saling memberikan motivasi atau melalui sumbangan kewangan seperti Sime Darby Plantations (SDP).

“Program seperti ini akan menyebabkan orang lain menyedari bahawa rakyat Malaysia sentiasa prihatin serta saling bekerjasama semasa pandemik dan inilah yang kita perlu lakukan untuk memerangi Covid-19,” menurut Ras Adiba dalam kenyataan bersama dengan SDP yang dikeluarkan pada Khamis.

Pengarah Urusan Kumpulan SDP, Mohamad Helmy Othman Basha pula berkata, pihaknya gembira diberikan peluang untuk menjadi sebahagian daripada inisiatif bersejarah ini.

“Kami menganggapnya sebagai tanggungjawab kami untuk menyumbang kembali kepada masyarakat dengan menyokong inisiatif kerajaan bagi membantu memudah dan mempercepat kadar vaksinasi untuk membolehkan negara kita mencapai imuniti kelompok,” katanya.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, sejumlah 13,500 OKU akan menerima vaksin di fasiliti pandu lalu pertama negara itu yang mula beroperasi pada Rabu.

Artikel Berkaitan:

Pendaftaran bagi program vaksinasi itu telah dibuka kepada komuniti OKU berusia 18 tahun ke atas daripada semua tujuh kategori yang diiktiraf kerajaan iaitu kurang upaya penglihatan, kurang upaya pendengaran, kurang upaya pertuturan, kurang upaya fizikal, kurang pembelajaran, kurang upaya mental dan kurang upaya pelbagai dari Kuala Lumpur, Putrajaya serta Selangor. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!