Antara Euro 2020 dan vaksin Malaysia

No Image Caption
A
A
A

MATEMATIK tidak pernah menipu kita. Hakikatnya 1+1 akan menjadi 2. Begitu juga dengan mata. Mata juga tidak pernah menipu kita. Rasanya saban malam ramai peminat bola sepak di seluruh dunia termasuk di Malaysia bersengkang mata menonton siaran langsung kejohanan bola sepak Euro 2020.

Apabila menonton Euro 2020, kita berasakan seantero benua Eropah sedang berpesta. Stadium dipenuhi ribuan peminat bola sepak, sedangkan di Malaysia, kita dalam fasa pertama Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 3.0). Rakyat Malaysia berkurung di rumah. Bersukan secara berkelompok tidak dibenarkan. Berjoging bersendirian juga boleh mengundang padah.

Jelas ketara perbezaan di Eropah dan Malaysia. Penulis percaya ia ada kaitan dengan pandemik Covid-19 dan program imunisasi. Ketika ini, Malaysia ada 386 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di seluruh negara.

PPV dikendalikan kakitangan pelbagai kementerian, agensi dan organisasi. Ada beberapa jenis PPV termasuk jenis pejabat komuniti dan pejabat daerah kerajaan yang mampu menyudahkan antara 200 dos dan 600 dos sehari.

Dewan komuniti dan balai raya komuniti mampu melaksanakan antara 800 dan 1,200 dos sehari. Kapasiti stadium dan dewan perhimpunan boleh menyelesaikan antara 1,400 dan 1,600 dos vaksin sehari.

Minggu lalu, penulis meninjau proses penyuntikan vaksin di PPV ketika menemankan isteri mengambil vaksin. Tempoh mengambil vaksin menghampiri 80 minit. Mengikut kiraan matematik, setiap kaunter PPV hanya boleh memberi tujuh hingga lapan dos untuk tempoh lapan jam sehari.

Jika diamati lagi, hanya 900 dos secara purata dilaksanakan setiap PPV sehari atau 347,000 dos sehari daripada keseluruhan 386 PPV. Ia bermakna Malaysia akan mengambil masa melebihi 219 hari atau antara tujuh dan lapan bulan keseluruhan bagi memastikan 33 juta penduduk negara menerima suntikan dua dos vaksin.

China dipercayai sudah memberi vaksin kepada lebih 800 juta rakyatnya. Penulis mencadangkan jumlah PPV ditingkatkan kepada 700 buah di seluruh Malaysia supaya tempoh berkenaan disingkatkan antara tiga dan empat bulan sahaja.

Artikel Berkaitan:

Kapasiti

Penulis percaya ia boleh dilakukan kerana bulan lalu, Kordinator Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin Abu Bakar mendedahkan beberapa pusat vaksinasi bersaiz mega berkapasiti tinggi akan ditambah di Lembah Klang. Jumlah pasukan petugas barisan hadapan turut ditambah.

Penubuhan Malaysia Vaccine Support Volunteers (MyVAC) tepat pada masanya bagi mencari sukarelawan PPV. Idea pusat vaksinasi pandu lalu yang sedang dalam ujian adalah langkah bijak dan perlu diperkukuh mengikut tatacara dan prosedur yang tepat.

Pusat vaksinasi bergerak masuk ke kampung juga perlu dipercepatkan. Program imunisasi mesti dilaksana serentak melibatkan peringkat pelbagai umur kerana faktor kontak rapat. Penulis juga berharap kerajaan tidak melupakan penempatan orang asal.

Secara harfiahnya, ALLAH SWT menasihatkan manusia tentang kebijaksanaan dalam menangani sesuatu permasalahan menerusi surah al-Baqarah ayat 2:195 yang bermaksud: “Dan belanjakanlah (harta bendamu) di jalan ALLAH dan janganlah kamu menjatuhkan dirimu sendiri ke dalam kebinasaan, dan berbuat baiklah kerana sesungguhnya ALLAH menyukai orang-orang yang berbuat baik.”

Mungkin mulai sekarang, proses program pemberian vaksin boleh dibantu teknologi kecerdasan buatan atau artificial intelligence (AI).

Faktor seperti latar belakang kesihatan penerima, tindak balas sistem badan terhadap jenis vaksin diambil, bilangan pengambilan vaksin, kontak rapat yang telah dijangkiti atau pernah dijangkiti, bergejala atau tidak bergejala dan pelbagai faktor lain boleh dianalisis oleh AI.

Kesimpulannya, Malaysia harus bergerak pantas dalam pengambilan vaksin bagi memerangi Covid-19. Meskipun pengambilan vaksin bukan faktor penentu Covid-19, namun ia akan meningkatkan imej Malaysia di mata dunia.

* Ir Dr Muhidin Arifin ialah Pengarah Institut Kejuruteraan Sukan Pusat Kecemerlangan Universiti Selangor (UNISEL)

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!