'Saya sukakan bola sepak, ini cinta pertama saya'
BEKAS jaguh UFC Khabib Nurmagomedov yang telah bersara dari sukan seni bela diri campuran (MMA) sejak Oktober tahun lalu, kini menyatakan kesediaan untuk untuk bermain dalam kelab bola sepak.
Bagaimanapun, atlet kelahiran Dagestan, Rusia itu memberitahu dia perlu membuat persediaan dari segi fizikal terlebih dahulu kerana bola sepak berbeza dengan sukan MMA.
“Banyak kelab bola sepak memberi tawaran kepada saya, tapi saya perlu membuat persediaan tubuh badan seperti pemain bola sepak.
“Dalam bola sepak permainannya berbeza, dalam MMA anda perlu bertarung, ia sangat berbeza,” katanya dalam satu sesi soal jawab di Facebook baru-baru ini.Namun, menurut Khabib, jika tawaran tersebut menarik, dia akan menerimanya.
“Saya akan terima kerana ia adalah impian saya sejak kecil. Saya amat sukakan bola sepak.
“Saya mengikuti sukan itu sejak kanak-kanak lagi. Ini cinta pertama saya,” katanya sebagai dipetik portal MMA Fighting.
Khabib dilaporkan telah menerima tawaran dari kelab bola sepak divisyen tiga di Rusia iaitu Dynamo Legion dan FC Kamza.
Khabib sebelum ini pernah memuat naik video di laman Instagramnya sambil berseloroh mengatakan dia kini seorang ‘free agent’ (ejen bebas) dan bersedia untuk menerima sebarang tawaran dari mana-mana kelab.
Bekas juara lightweight berusia 32 tahun itu juga pernah mengakui dia lebih sukakan bola sepak berbanding MMA.
Dia juga merupakan antara peminat setia kelab La Liga, Real Madrid selain turut meminati beberapa kelab lain seperti Galatasaray dan Anzhi Makhachkala.
Khabib mengumumkan persaraan dari sukan MMA sejurus selepas kemenangannya ke atas Justin Gaethje dari Amerika Syarikat dalam pertarungan kejuaraan lightweight pada Oktober tahun lalu. - Awani
ARTIKEL BERKAITAN: Khabib kotakan janji kepada ibu bersara UFC
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!