Mega PKRC Berselawat usaha rakyat berjuang hadapi Covid-19

Tangkap layar program PKRC Berselawat Bersama Perdana Menteri dan Rakyat Malaysia yang diadakan secara maya dan disiarkan secara langsung menerusi beberapa stesen televisyen tempatan pada Jumaat.
Tangkap layar program PKRC Berselawat Bersama Perdana Menteri dan Rakyat Malaysia yang diadakan secara maya dan disiarkan secara langsung menerusi beberapa stesen televisyen tempatan pada Jumaat.
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Program Mega Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) Berselawat bersama Perdana Menteri dan Rakyat Malaysia merupakan satu usaha dalam berjuang melawan pandemik Covid-19.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, usaha itu akan memberi kekuatan, semangat baharu dan iman yang kukuh kepada ALLAH SWT dalam menghadapi cabaran tersebut.

“Kita mengharapkan, insyaALLAH dalam satu tempoh yang tidak lama lagi kita akan keluar daripada pandemik Covid-19 ini dengan berkat usaha yang sekarang ini dilaksanakan oleh kerajaan.

“Usaha itu turut didukung oleh ribuan barisan hadapan bersama dengan pembantu daripada badan sukarela serta ketekunan rakyat yang dijangkiti Covid-19 bersama-sama bertarung dan berjuang agar mereka dapat kembali pulih dan balik ke pangkuan masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Program Mega Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) Berselawat bersama Perdana Menteri dan Rakyat Malaysia pada Jumaat.

Program tersebut dipimpin oleh Imam Besar Masjid Putra, Putrajaya Ikmal Zaidi Mohd Hashim dan diiringi oleh Qari Kebangsaan dan Antarabangsa, Ahmad Tarmizi Ali serta Amirrahman Abbas.

Bacaan selawat diakhiri dengan doa keselamatan memohon ALLAH SWT memberi perlindungan kepada rakyat Malaysia daripada segala penyakit berbahaya serta mendoakan kesejahteraan dan kestabilan negara.

Dalam pada itu, Muhyiddin berharap doa itu dapat mempertingkat dan menguatkan semangat juang semua rakyat Malaysia.

Artikel Berkaitan:

“Jangan kita rasa lemah semangat, mahu berundur ataupun tunduk kepada cabaran yang berat yang sedang dihadapi oleh negara kita ini.

“Pastinya ini memerlukan kerjasama, sokongan dan bantuan sesama kita kerana perjuangan ini tidak mungkin berjaya tanpa ada pengorbanan yang besar daripada kita semua,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, usaha yang diberikan oleh kerajaan dengan bantuan pelbagai pihak membolehkan negara memulakan fasa pertama menerusi Pelan Pemulihan Negara yang dibentangkan sebelum ini.

“Pelan Pemulihan Negara adalah harapan baharu dan yang akan diusahakan dalam tempoh beberapa bulan atau tahun akan datang.

“Sebab itu saya nak menyatakan rasa bangga saya sebagai Perdana Menteri melihat betapa cekal dan kukuh semangat juang rakyat.

“Inilah yang kita harapkan dalam tempoh mendatang, bersedialah untuk terus berjuang dan saling membantu untuk membela nasib rakyat yang terkesan akibat pandemik Covid-19 ini,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!