'Tak perlu bayar jika keropok lekor diterima rosak'

Ahmad Bukhari menunjukkan antara keropok lekor yang dijual di premis perniagaannya di Losong, Kuala Terengganu.
Ahmad Bukhari menunjukkan antara keropok lekor yang dijual di premis perniagaannya di Losong, Kuala Terengganu.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seorang peniaga keropok lekor di sini berani mengambil risiko dengan tidak menerima sebarang bayaran termasuk kos penghantaran sekiranya keropok lekor ditempah pelanggan dari luar Terengganu sampai dalam keadaan rosak.

Pemilik Kori Keropok Lekor Losong (2K2L), Ahmad Bukhari Ayob, 35, berkata, setakat ini penghantaran keropok lekor yang dibungkus dalam bentuk vacum dilakukan ke seluruh semenanjung menggunakan perkhidmatan kurier.

Menurutnya, produk yang diusahakan sejak 10 tahun lalu menerima sambutan hangat daripada pelanggan terutama yang tinggal di luar Terengganu sejak Sekatan Pergerakan Penuh fasa pertama bermula 1 Jun lalu.

"Saya tidak sampai hati ambil duit pelanggan jika keropok yang sampai mereka tidak dapat makan. Jadi, sekiranya pelanggan mengadu tidak berpuas hati terutama melibatkan rasa dan kualiti, kita tidak menerima sebarang bayaran atau jika pelanggan mahukan juga tempahan, kita akan gantikan dengan yang baharu.

"Saya bersyukur, setakat ini ramai yang terima barangan dalam keadaan selamat dan mana-mana tempahan yang sampai dalam keadaan tidak elok, kita menolak untuk terima bayaran termasuk kos penghantaran," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Selain keropok lekor bersaiz 600gram dan 1.2kg setiap sebatang, keropok lekor saiz kecil RM1 sebatang mendapat permintaan tinggi pelanggan.
Selain keropok lekor bersaiz 600gram dan 1.2kg setiap sebatang, keropok lekor saiz kecil RM1 sebatang mendapat permintaan tinggi pelanggan.

Menurut Ahmad Bukhari, dia masih mengekalkan resipi asal keropok lekor yang diusahakan, namun rasa keropok lekor bergantung juga kepada faktor kualiti ikan dan beberapa faktor lain.

Katanya, terdapat tiga saiz keropok lekor yang dijual iaitu RM1 sebatang, RM5 sebatang (600 gram) dan RM10 sebatang (1.2kg).

Artikel Berkaitan:

"Keropok vacum biasanya tahan dalam tempoh tiga hari. Jika ada yang sampai lebih dari tempoh itu kebanyakannya akan rosak.

"Ramai pelanggan gemar memesan keropok lekor RM1 sebatang kerana saiznya yang lebih kecil dan mudah untuk digoreng dan dipasarkan," katanya.

Selain membuat penghantaran ke luar Terengganu, 2K2L turut membuka jualan di premis yang beroperasi berhampiran Muzium Terengganu dengan mengutamakan prosedur operasi standard (SOP) bagi setiap pelanggan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!