Neymar mampu lebih menyerlah

Neymar
Neymar
A
A
A

PENGENDALI Brazil, Tite percaya bintang sensasi Brazil, Neymar mampu menyerlah tanpa had batasan pada masa depan selepas membantu skuad Samba mengatasi Peru 4-0 pada saingan Copa America di Stadium Nilton Santos, Rio de Janeiro, pada Jumaat.

Malah menurut Tite, gol keempat berturut-turut dilakar penyerang sensasi kelab Ligue 1, Paris Saint-Germain (PSG) kembali menjadikannya kian menghampiri jaringan legenda Brazil, Pele.

"Sejujurnya, saya akui tidak tahu setakat mana tahap Neymar mampu mengekalkan konsistennya, namun saya percaya Neymar mampu lebih menyerlah tanpa had batasan.

"Biarpun begitu, saya amat berharap dari aspek keupayaan teknikal Neymar sentiasa berada dalam keadaan sihat dan tidak mengalami kecederaan kerana pasukan sentiasa memerlukan khidmatnya," kata Tite.

Pada aksi kedua peringkat kumpulan, Neymar tampil meledak menjadi penyumbang gol pada minit ke-68' babak kedua bagi melebarkan jaringan setelah mendahului babak pertama 1-0.

Untuk rekod, Neymar turut menjadi perancang untuk tiga lagi gol skuad Samba, Alex Sandro (12'), Éverton Ribeiro (89') dan Richarlison (93').

Gol minit ke-68, ketika The Selecao menentang Peru membolehkan Neymar mencatat jaringan 68 gol yakni kedua terbanyak di belakang Pele (77 gol).

Sejak melakukan debut pada 2010, Neymar telah meledak lebih 49 gol bersama Brazil berbanding rakan sepasukan lain sepanjang tempoh tersebut.

Artikel Berkaitan:

Kemenangan 4-0 bergaya ke atas Peru, meneruskan momentum positif tiga mata berharga ketika membelasah Venezuela 3-0 pada aksi kumpulan B sebelum ini yang mana Neymar turut mencetak nama sebagai penjaring pada minit ke-64.

Tiga mata ke atas Peru, membolehkan Brazil kini memimpin kumpulan dengan enam mata selepas dua perlawanan sambil diekori rapat Colombia kedua dengan empat mata.

Brazil dijangka menentang Colombia di Rio de Janeiro pada Rabu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!