Lambakan durian punca harga merudum

Harga kebanyakan jenis durian jatuh merundum sejak beberapa hari lalu berikutan lambakan buah itu sepanjang tempoh Sekatan Pergerakan Penuh (SPP). Gambar kecil: Syarial
Harga kebanyakan jenis durian jatuh merundum sejak beberapa hari lalu berikutan lambakan buah itu sepanjang tempoh Sekatan Pergerakan Penuh (SPP). Gambar kecil: Syarial
A
A
A

SHAH ALAM - Harga pelbagai jenis durian di Selangor merudum sejak beberapa hari lalu berikutan lambakan buah itu sepanjang tempoh Sekatan Pergerakan Penuh (SPP).

Tinjauan Sinar Harian di beberapa gerai durian sekitar Selangor pada Jumaat mendapati, harga pelbagai jenis durian mengalami penurunan ketara.

Hasil tinjauan mendapati, harga durian musang king gred A misalnya pada musim sebelumnya dijual pada RM65 sekilogram turun kepada antara RM35 hingga RM55 sekilogram.

Bagi durian kampung pula, harganya jatuh kepada RM10 sekilogram berbanding RM18 sekilogram, manakala IOI pula dijual pada harga RM35 sekilogram turun pada harga RM28 sekilogram.

Seorang peniaga durian di Seksyen 7 Shah Alam, Syarial Nasri, 37, berkata, faktor utama kejatuhan harga durian disebabkan pelaksanaan SPP selain isu lambakan raja buah itu di pasaran.

"Harga pelbagai jenis durian pada musim kali ini jauh merudum dan memberi kesan kepada pendapatan," katanya kepada Sinar Harian di sini pada Jumaat.

Syarial yang berniaga durian sejak dua dekad lalu berkata, selain itu, operasi terhad semasa pelaksanaan SPP juga menyebabkan pendapatan peniaga merosot.

"Orang ramai tidak dibenarkan keluar sesuka hati (sepanjang tempoh pelaksanaan SPP) dan kami pula menutup perniagaan lebih awal berbanding kebiasaan.

Artikel Berkaitan:

"Kalau dulu saya boleh jual durian secara purata 30 bakul sehari, kini 10 bakul sehari sahaja," ujarnya.

Bagaimanapun, katanya, penurunan harga buah itu tidak bermakna kualiti buah yang dijual turut menurun, sebaliknya penawaran harga dilakukan atas faktor lambakan buah itu di pasaran.

"Biasanya jika isi durian nipis, kami jual pada harga murah kepada pelanggan walaupun kami menanggung sedikit kerugian,” katanya.

Seorang peniaga durian di Jalan Kebun di sini, Mohd Azizi Aruzi, 28, berkata, sekiranya berlaku lambakan durian di pasaran, dia menjangkakan harga buah itu mengalami penurunan terutama pada musim SPP.

Malah, katanya, harga durian kampung kualiti tinggi misalnya boleh dijual RM10 sekilogram berbanding RM15 sekilogram.

"Pada masa sekarang harga durian tidaklah terlalu tinggi atau murah, tetapi jika berlaku lambakan sudah pasti harganya jauh merudum," katanya yang mengambil buah itu dari pembekal di sekitar Pagoh dan Muar, Johor.

Di Sabak Bernam, seorang peniaga durian, Muhammad Norazuwan Miskam, 29, berkata, harga durian dijangka turun mendadak berikutan berlaku lambakan buah itu pada Julai.

Norazuwan yang berniaga durian di Kampung Simpang Lima berkata, harga durian misalnya Musang King gred A pada musim kali ini diramal merudum daripada RM80 sekilogram kepada RM65 sekilogram.

"Begitu juga dengan harga durian gred tinggi lain seperti D24 mungkin turun sehingga RM12 sekilogram berbanding RM15 sekilogram, D13 pula daripada RM30 sekilogram turun kepada RM20 sekilogram dan udang merah daripada RM25 sekilogram jatuh kepada RM20 sekilogram," katanya.

Bagi menangani lambakan buah itu, pihaknya memperkenalkan kaedah bayar selepas terima (COD) kepada pelanggan.

"Saya merasakan kaedah COD ini dapat membantu kami menjual durian pada musim kali ini bagi menangani isu lambakan buah," katanya yang mengambil buah daripada pembekal di Tangkak; Johor, Raub; Pahang dan Batu Kurau, Perak.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!