Perladangan sawit dipilih projek rintis vaksinasi
PUTRAJAYA - Sektor perladangan sawit dipilih sebagai projek rintis vaksinasi bagi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK), Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, cadangan pelaksanaan projek rintis ini akan diadakan di Selangor dengan anggaran 5,000 pekerja.
"Ia telah pun mendapat sokongan penuh Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF) dan tindakan selanjutnya sedang diperincikan untuk dilaksanakan dalam tempoh terdekat," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Menurutnya, melalui program vaksinasi di bawah projek rintis ini, bekalan serta penghantaran vaksin akan diberikan secara percuma oleh kerajaan.
"Namun, pihak syarikat masih perlu membiayai sendiri kos lain yang terlibat seperti penyediaan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) mengikut spesifikasi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), peralatan perubatan, kos pemvaksin, doktor, jururawat serta bayaran elaun kepada petugas sukarelawan dan anggota keselamatan," katanya.
Beliau berkata, penyertaan pihak industri dalam program ini adalah secara sukarela bagi mendapatkan vaksin untuk para pekerja di sektor perladangan dan Agrikomoditi secara berkumpulan.
"Dalam hal ini, KPPK mengalu-alukan penglibatan dan kerjasama pihak industri serta persatuan dalam membantu kerajaan bagi menjayakan program vaksinasi yang bakal dilaksanakan kelak," katanya.
Mohd Khairuddin berkata, kementerian akan memaklumkan dari masa ke masa berhubung pelaksanaan program tersebut dan berharap melalui program dengan kerjasama pihak swasta ini, sasaran imuniti kelompok dapat dicapai dengan lebih cepat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!