PPV PIKAS kedua di Johor dibuka 28 Jun
JOHOR BAHRU - Kerajaan akan membuka Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di bawah Program Imunisasi Industri Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) Covid-19 yang kedua di Johor pada 28 Jun ini.
Menteri Kanan yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, pusat kedua itu akan dibuka di Pusat Konvensyen Antarabangsa Austin (AICC) di Taman Mount Austin, di sini.
"Hasil tinjauan yang dilakukan hari ini (Jumaat), saya dapati PPV PIKAS di AICC ini memenuhi kriteria yang ditetapkan kerajaan dan sudah sedia untuk beroperasi.
"Ia boleh menampung kapasiti antara 4,000 hingga 4,500 penerima vaksin sehari dan mempunyai 60 bilik suntikan vaksin, selain beberapa bilik pesakit.
"Tapi, untuk permulaan PPV ini akan menyuntik kira-kira 1,500 penerima vaksin sehari sebelum ia ditingkatkan kepada 4,500 penerima," katanya.
Beliau berkata demikian selepas membuat pemantauan persiapan PPV di bawah PIKAS Covid-19 di Austin International Convention Centre di sini pada Jumaat.
Mengulas lanjut, Azmin berkata, kerajaan memfokuskan pembukaan PPV PIKAS di empat negeri iaitu Selangor, Pulau Pinang, Johor dan Sarawak, sebelum dibuka di negeri lain.
Jelasnya, ia memandangkan empat negeri berkenaan mempunyai sektor pembuatan dan perkilangan yang besar dan usaha digerakkan dalam mengawal penularan Covid-19.
"Inisiatif PIKAS ini adalah salah satu usaha kita untuk memberikan perlindungan dan jaminan kesihatan kepada pekerja sektor pembuatan dan perkilangan negara yang menjadi nadi penting sektor ekonomi," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!