Mahkamah tolak saman Steven Sim terhadap Dr Kamarul

No Image Caption
A
A
A

GEORGETOWN - Usaha Ahli Parlimen DAP Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong menyaman Pensyarah Kanan Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Kamarul Zaman Yusoff menerima tamparan apabila writ saman beliau yang difailkan pada 19 Mei 2021 ditolak oleh Pendaftar Mahkamah Tinggi Georgetown, L Umma Devi pada Jumaat.

Peguambela Dr Kamarul, Harris Mohan Abdullah berkata, beliau membuat bantahan ke atas writ saman yang difailkan oleh peguambela Steven Sim, R Nethaji Rayer dalam pengurusan kes berkenaan pagi ini kerana mendapati ia mengalami kecacatan.

“Dalam pengurusan kes pagi ini, Pendaftar Mahkamah Tinggi Georgetown bersetuju dengan bantahan saya bahawa writ itu cacat kerana salah kod menyebabkan Steven Sim, yang diperintahkan membayar kos kepada Dr Kamarul, menarik balik writ itu dengan kebebasan untuk memfailkannya semula pada masa depan. Selain itu Writ tersebut juga tidak ada teste.

“Saya tidak faham bagaimana seorang peguam seperti Rayer yang juga adalah Ahli Parlimen DAP Jelutong boleh membuat kecacatan begitu dan ini adalah satu kemenangan moral kepada Dr Kamarul di dalam meneruskan saman kepada pihak-pihak yang memfitnah beliau," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Jumaat.

Pada 20 April lalu, Steven Sim melalui Facebook mengumumkan yang beliau telah mengarahkan peguamnya untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Dr Kamarul setelah beliau amat terkesan dengan fitnah dan tohmahan yang didakwa merosakkan nama beliau sebagai seorang ahli Parlimen.

Dalam writ yang dikemukakan kepada Dr Kamarul pada 19 Mei lalu, Steven Sim menyebut Dr Kamarul telah membuat fitnah kepada beliau dan parti beliau, DAP antara lainnya kerana menyebut Steven Sim adalah seorang ‘Evangelis Kristian’; Orang-orang beragama Islam perlu sangat berhati-hati dan was-was apabila menerima apa-apa bantuan kewangan ataupun bantuan kebajikan daripada Steven Sim.

Selain itu, beliau turut mendakwa Dr Kamarul menyebut DAP boleh mengancam dan memudaratkan keutamaan dan kepentingan agama Islam sebagai agama rasmi negara Malaysia dan DAP dengan sengaja mencari publisiti untuk kerja-kerja amal serta kerja-kerja kebajikan yang dibuat oleh wakil rakyat-wakil rakyatnya.

Dr Kamarul juga telah menyaman Steven Sim kerana telah membuat fitnah kepada beliau, antara lainnya kerana menyebut Dr Kamarul menyatakan motosikal yang diberi kepada penerima bantuan motosikal tidak wujud; kedua Dr Kamarul menyatakan kedai menjual motosikal tidak boleh dikesan ; ketiga Dr Kamarul mengganggu penerima bantuan motosikal dan keluarganya dan Dr Kamarul melakukan perbuatan yang melampau dengan menawarkan RM2,000 ke atas kepala penerima bantuan semata-mata untuk menyerang Steven Sim.

Artikel Berkaitan:

Ketika dihubungi, Dr Kamarul mengesahkan perkara itu tetapi enggan mengulas lanjut dan menyerahkan kepada kemampuan peguamnya mengendalikan kes berkenaan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!