Lebih 82 juta penduduk dunia berpindah akibat konflik, penganiayaan

Seorang kanak-kanak bermain ayunan di kem Hammam Al-Alil di selatan Mosul, Iraq. - Foto Reuters
Seorang kanak-kanak bermain ayunan di kem Hammam Al-Alil di selatan Mosul, Iraq. - Foto Reuters
A
A
A

MOSCOW - Jumlah penduduk yang terpaksa meninggalkan tempat tinggal mereka di seluruh dunia akibat konflik dan penganiayaan meningkat dua kali ganda dalam satu dekad ini, dan mencapai lebih 82 juta orang pada 2020, kata Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) untuk Pelarian (UNHCR) dalam laporan mengenai aliran perpindahan paksa global.

Menurut Sputnik, laporan itu telah dikeluarkan menjelang Hari Pelarian Sedunia pada 20 Jun, yang ditaja oleh PBB.

"Pada akhir 2020, jumlah orang yang terpaksa meninggalkan tempat tinggal mereka akibat penganiayaan, konflik, keganasan, pelanggaran hak asasi manusia dan peristiwa yang mengganggu ketenteraman awam telah meningkat kepada 82.4 juta, jumlah tertinggi yang dicatat berdasarkan data yang ada. Ini lebih banyak daripada gandaan angka satu dekad yang lalu (41 juta pada 2010), " kata agensi itu.

Akibatnya, lebih satu peratus populasi dunia atau 1 daripada 95 orang kini telah meninggalkan tempat tinggal mereka, kata agensi itu, menyebut pada 2010 anggaran ini adalah 1 daripada 159.

Lebih 26 juta orang yang terpaksa meninggalkan tempat tinggal mereka dianggap sebagai pelarian, kata PBB, sambil menambah hampir satu juta kanak-kanak dilahirkan sebagai pelarian dalam tempoh antara 2018 dan 2020.

Penduduk terpaksa meninggalkan rumah mereka walaupun PBB mendesak untuk gencatan senjata global berikutan pandemik pada Mac 2020, kata agensi itu, sambil menambah tahun lalu akan sentiasa dikenang sebagai “tahun yang sukar".

"Pandemik Covid-19 telah mengganggu semua aspek kehidupan, menyebabkan berjuta-juta kematian di seluruh dunia dan menyebabkan penderitaan manusia, kemelesetan ekonomi, sekatan pergerakan manusia dan membataskan kehidupan seharian,” kata laporan itu.

Turki kekal sebagai negara dengan populasi pelarian terbesar di dunia - 3.7 juta, diikuti Colombia, Pakistan, Uganda dan Jerman, menurut laporan itu.

Artikel Berkaitan:

Enam puluh lapan peratus daripada semua pelarian berasal dari hanya lima negara - Syria, Venezuela, Afghanistan, Sudan Selatan dan Myanmar. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!