Sindiket rekalibrasi tumpas, dua warga Bangladesh ditahan

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

PUTRAJAYA - Jabatan Imigresen menumpaskan satu sindiket menguruskan Program Rekalibrasi Pulang yang beroperasi di sebuah bilik sewa premis kedai di Lebuh Ampang, Kuala Lumpur pada Selasa serta menahan dua warga Bangladesh yang mendalanginya.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, dua lelaki yang ditahan itu berumur 38 dan 53 tahun, yang seorang daripadanya merupakan individu yang dikehendaki oleh Jabatan Imigresen Negeri Kedah rentetan tangkapan ejen Program Rekalibrasi di negeri itu pada Mac lalu (2021).

Beliau berkata, sindiket itu disyaki mengeluarkan Dokumen Perjalanan Bangladesh secara tidak teratur dan memperdaya warga Bangladesh dalam urusan Program Rekalibrasi Jabatan Imigresen Malaysia.

"Modus operandi sindiket ini adalah menyasarkan warga Bangladesh yang telah tinggal lebih masa atau tidak mempunyai dokumen di negara ini," katanya dalam kenyataan hari ini.

Berdasarkan maklumat awal, katanya sindiket itu mengenakan bayaran antara RM1,100 dan RM2,600 bagi setiap permohonan Rekalibrasi, manakala bagi permohonan mendapatkan Dokumen Perjalanan, bayaran yang dikenakan adalah antara RM1,000 dan RM1,500.

Dalam serbuan itu, pihak Imigresen menemukan empat naskhah pasport, empat Dokumen Perjalanan Bangladesh yang disyaki untuk digunakan dalam Program Rekalibrasi, puluhan slip janji temu online (STO) di Pejabat Imigresen Malaysia di pelbagai negeri, borang permit Pergerakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk tujuan rentas negeri, dokumen kedutaan Bangladesh dan lapan kad bank.

Berdasarkan slip STO yang ditemukan, sindiket itu disyaki telah menguruskan lebih daripada 200 permohonan sepanjang Program Rekalibrasi dijalankan.

Khairul Dzaimee berkata, kedua-dua warga Bangladesh itu ditahan dan disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Pasport 1966.

Artikel Berkaitan:

“Jabatan Imigresen menegaskan tidak pernah melantik mana-mana ejen bagi menguruskan Program Rekalibrasi ini. Orang ramai dinasihatkan supaya berurusan terus dengan jabatan ini dan tidak mempercayai pihak ketiga bagi menguruskan Program Rekalibrasi,” katanya.-Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!