PM alu-alukan kehadiran menteri Norway

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengalu-alukan kunjungan Menteri Perdagangan dan Perindustrian Norway, Thorbjorn Roe Isaksen ke Malaysia minggu depan untuk meninjau bidang kerjasama baharu dan mengukuhkan lagi kerjasama dua hala.

Malaysia juga berharap dapat bekerjasama dengan Norway dalam perkara mengenai larangan ke atas minyak sawit, selain mengkaji pembangunan dalam industri minyak sawit, termasuk dalam bidang pembangunan lestari.

Kementerian Luar dalam kenyataan hari ini berkata, perdana menteri, telah menghantar surat kepada Perdana Menteri Norway Erna Solberg, baru-baru ini yang menjelaskan pendirian Malaysia berhubung undi oleh Parlimen Norway mengenai minyak sawit.

Dr. Mahathir turut menyatakan pendirian negara kepada Duta Besar Norway ke Malaysia, Gunn Jorid Roset dalam pertemuan pada 18 Februari 2019.

Parlimen Norway mengundi pada 3 Disember 2018 untuk mengehadkan dan menghentikan penggunaan minyak sawit secara berperingkat berkuat kuasa 1 Januari 2020.

“Berdasarkan layanan yang tidak adil ke atas minyak sawit, Malaysia meminta Kerajaan Norway untuk menilai semula perkara itu.

“Kami meminta sokongan Norway untuk memberikan akses yang sama kepada minyak sawit lestari bersama dengan stok suapan biofuel lain,” menurut kementerian itu.

Wisma Putra menegaskan cadangan larangan itu tidak adil dan bersifat diskriminasi kerana tiada tanaman lain yang menghasilkan minyak disasarkan.

Artikel Berkaitan:

Dakwaan minyak sawit bertanggungjawab kepada aktiviti penebangan hutan adalah tidak benar berikutan penyelidikan telah menunjukkan industri minyak sawit Malaysia bukan pemacu kepada aktiviti penebangan hutan.

Malah, kedudukan penanaman kelapa sawit jauh di belakang daging lembu dan soya, dinamakan hanya dua, yang bertanggungjawab kepada penebangan hutan yang lebih besar.

Malaysia telah memberi jaminan untuk mengekalkan sekurang-kurangnya 50 peratus daripada kawasan tanah di bawah kawasan liputan hutan pada Sidang Kemuncak Rio 1992 dan komitmen ini masih dipenuhi hari ini.

Negara amat komited dalam melindungi dan memulihara hutannya, dengan 55.3 peratus daripada jumlah kawasan tanah di bawah kawasan liputan hutan.

Ini jauh lebih tinggi daripada liputan hutan di kebanyakan negara-negara Eropah yang besar, termasuk Perancis, Jerman, Itali dan United Kingdom.

Industri minyak sawit Malaysia kini memberi tumpuan kepada meningkatkan produktiviti dan hasil serta menggunakan tanah yang sedikit untuk mengeluarkan hasil yang tinggi, kira-kira 4 hingga 10 kali lebih produktif berbanding tanaman lain, seperti biji sesawi, jagung, soya dan canola.

Malaysia juga berusaha untuk mencapai standard kelestarian yang paling tinggi dalam usaha pembangunannya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!